KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur dan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal tahun ini dalam menguruskan paras hutang negara yang tinggi ketika ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hutang Kerajaaan Persekutuan sehingga akhir 2022 adalah sebanyak RM1.0796 trilion atau 60.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia meliputi hutang dalam negara sebanyak RM1.0501 trilion dan pinjaman luar negara sebanyak RM29.5 bilion.

"Kedua, kerajaan melaksanakan kajian semula perbelajaan awam termasuk langkah rasionalisasi dan keutaman perbelanjaan mengurangkan ketirisan dan pembaziran.

"Ketiga, memperluaskan asas hasil dan memastikan peruntukan hasil yang mampan di mana perbelanjaan mengurus perlu dibiayai melalui hasil negara. Keempat, memastikan bayaran khidmat hutang terkawal serta tidak melebihi 15 peratus daripada hasil," katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat pada Rabu.

Jelas Ahmad (BN-Pontian) kedudukan paras hutang negara meningkat dengan drastik kerana COVID-19 dan suntikan fiskal berjumlah RM110 bilion.

Katanya lagi, sebanyak RM41.3 bilion atau 14 peratus daripada kutipan hasil turut dibelanjakan bagi bayaran khidmat hutang iaitu membayar faedah atas pinjaman terkumpul pada 2022.

"Satu perkara yang kita dengar adalah kenyataan Perdana Menteri bahawa hutang kerajaan adalah RM1.5 trilion atau 80.9 peratus daripada KDNK. Itu melibatkan hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan.

"Secara terperinci antaranya ialah RM1.0796 trilion (hutang Kerajaan Persekutuan); komitmen jaminan Kerajaan Persekutuan (RM205.9 bilion); 1Malaysia Development Berhad (1MDB) (RM18.2 bilion); dan liabiliti atau tanggungan lain (RM142.2 bilion).

"Apabila kita menyebut tentang hutang ia melibatkan dua komponen iaitu hutang langsung dan hutang meliputi jaminan. Hutang langsung adalah RM1.0796 trilion dan apabila dicampur dengan tanggungan liabiliti jaminan ia menjadi RM1.5 trilion," katanya.

Bagi menguruskan hutang lagi, Maslan menambah kerajaan akan turut memastikan pinjaman kerajaan dibuat hanya untuk membiayai perbelanjaan pembangunan projek yang berimpak tinggi dan memberi pulangan besar kepada negara dan rakyat.

Selain itu, mengutamakan pinjaman domestik dengan mengambil kira mudah tunai yang tinggi, kos pinjaman lebih murah serta tidak terdedah kepada risiko pertukaran wang asing.

"Menghadkan pemberian jaminan dan projek berskala besar yang akhirnya membebankan komitmen kewangan kerajaan," ujarnya.