Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Langkawi dan Perlis perlu membentuk sinergi yang kuat dalam mempromosikan industri pelancongan secara bersama selain mengelak persaingan sesama sendiri.

Titah baginda hubungan kerjasama dalam bentuk komprehensif memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak yang mengharapkan kesan positif terhadap ekonomi tempatan selain melindungi aset-aset berharga masing-masing.

"Saya pasti Langkawi dan Perlis berusaha menarik lebih ramai pelancong. Pada pendapat saya cara terbaik adalah berkongsi sumber serta mempakejkan produk Langkawi dan Perlis dalam satu pakej yang dapat menyokong pembangunan ekonomi sosial komuniti tempatan dengan mapan.

"Pendekatan ini akan dapat mengetengahkan ikon-ikon pelancongan tempatan ke peringkat antarabangsa," titah baginda yang berkenan menerima menghadap delegasi agensi pelancongan luar negara ke Galeri Diraja dan Istana Arau di Balai Menghadap Hijau, Istana Arau, pada Isnin.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan menerima delegasi tersebut yang disertai oleh 38 eksekutif kanan mewakili syarikat pelancongan dari 25 negara bersempena program Perlis Royal Tour itu.

Tuanku syed Faizuddin juga berkenan meraikan mereka dengan jamuan makan tengah hari di Balai Menghadap Hijau.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi Datuk Azizan Noordin.

Kumpulan tersebut adalah sebahagian daripada 1,400 perwakilan dari 70 negara anggota Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang mengambil bahagian dalam PATA Travelmart di Langkawi dari 12 hingga 14 Sept lepas.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin, 10 tempat tarikan yang mesti dilawati oleh pelancong di Perlis ialah ladang mangga harumanis Bukit Bintang, gerai makanan laut Kuala Perlis, Taman Ular dan Reptilia Sungai Batu Pahat, Arked Niaga dan Kompleks Bebas Cukai Padang Besar,Tasik Melati di Beseri.

Lima lagi ialah Gua Kelam atau Dark Cave di Kaki Bukit, Taman Herba Bukit Ayer, Galeri Diraja Arau, Muzium Kota Kayang dan Taman Negeri di Wang Kelian yang mengandungi gua-gua batu kapur berusia kira-kira 500 juta tahun.

-- BERNAMA