Cadangan melanjutkan had umur persaraan bagi profesor di universiti awam (UA) tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan perlukan kelulusan kabinet, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Profesor Negara (MPN) semalam bagi mencari penyelesaian jangka pendek berhubung isu berkenaan.

"Kita bincang dengan MPN untuk melihat bagaimana kementerian boleh bantu cari perincian terhadap masalah itu berdasarkan 'case by case'.

"Dan bagaimana kita dan pihak universiti boleh bantu dalam keadaan kekangan ekonomi hari ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa bermain 'blind futsal' bersama pelajar kurang upaya (OKU) dalam program Sehari Bersukan Bersama Menteri di Universiti Malaya di sini.

Minggu lepas MPN dilaporkan berkata seramai 156 profesor berstatus kontrak berusia 61 hingga 70 tahun di UA tidak dilanjutkan perkhidmatan mereka susulan kekangan bajet.

MPN mencadangkan supaya had umur persaraan mereka dilanjutkan ke 65 tahun.

Sementara itu, Idris berkata prasarana dan kemudahan riadah bagi pelajar OKU di UA masih berada di peringkat asas dan perlu ditingkatkan demi memudahkan penglibatan golongan itu dalam sebarang acara sukan di universiti.

"Usaha-usaha akan dilaksanakan untuk kita menambah baik peluang-peluang bagi mereka berkecimpung dalam aktiviti sukan," katanya.

"Saya amat tertarik dengan kebolehan pelajar OKU di sini, walaupun mereka bermain tanpa melihat bola tetapi pendengaran mereka cukup tajam.

"Ini antara kelebihan yang perlu lebih diterokai oleh pihak universiti," katanya.