IPOH: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Amirul Md Idrus, 32, yang bertugas di Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang sebanyak RM10,000 daripada Muhammad Zubairi Hashim sebagai dorongan untuk tidak mendedahkan aktiviti pemprosesan air ketum yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Mengikut pertuduhan, kesalahan tersebut dilakukan di sebuah restoran di Jalan Teluk Rubiah, Kampung Permatang, Seri Manjung lebih kurang jam 10.45 malam pada 5 Mei 2021.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, Muhammad Amirul didakwa secara rasuah memperoleh suapan iaitu wang tunai RM2,000 daripada individu sama sebagai dorongan tidak mendedahkan aktiviti pemprosesan air ketum yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Persiaran Venice Intan, Desa Manjung Raya Lumut lebih kurang jam 4.35 petang pada 4 Jun 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor menawarkan jaminan RM30,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Namun peguam tertuduh, Farhan Fadzil merayu agar jumlah dikurangkan atas alasan menanggung isteri yang tidak bekerja bersama dua anak masing-masing berusia enam dan dua tahun dengan gaji RM2,400 sebulan.

Menurut Farhan, tertuduh juga menerima gaji terakhir bulan ini memandangkan akan digantung kerja bermula esok selain memberi jaminan anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana tidak pernah memiliki pasport.

Hakim Datuk Ibrahim Osman kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin manakala perlu melapor diri pada 1 hari bulan setiap bulan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Taiping.

Mahkamah turut menetapkan 29 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian