SHAH ALAM : Jumlah kumulatif kes demam denggi di Selangor dari Januari hingga 8 Julai meningkat sebanyak 43.8 peratus (13,393 kes) dengan 30,543 kes dilaporkan berbanding 17,150 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, sebanyak 4,411 wabak denggi turut direkodkan bagi keseluruhan Selangor pada Minggu Epidemiologi ke-27 (2 Julai hingga 8 Julai).

Sehingga tempoh itu juga, beliau memaklumkan, sejumlah lapan kematian akibat komplikasi demam denggi dicatatkan di negeri itu berbanding empat kematian dalam tempoh sama pada 2022.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor serta semua Pejabat Kesihatan Daerah di negeri itu melancarkan Ops Industri pada Selasa.

"Op Industri melibatkan seramai 122 orang anggota penguat kuasa dan menyasarkan 155 premis industri di kawasan Bukit Beruntong, Rasa dan sekitar Sungai Choh.

"Hasil daripada operasi bersepadu ini, sejumlah 149 premis industri diperiksa dengan peratusan pemeriksaan premis adalah sebanyak 96 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati sebanyak 62 premis (41.6 peratus) positif dengan pembiakan nyamuk Aedes dan sebanyak 69 bekas positif Aedes turut ditemui.

"Lima notis di bawah Seksyen 8 Akta 154 juga telah dikeluarkan bersama arahan kerja pembersihan," katanya lagi.

Beliau menambah, kertas siasatan dibuka terhadap premis didapati pembiakan Aedes sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pendakwaan.

"Tindakan mahkamah ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pihak pengurusan industri agar lebih prihatin mengenai kesejahteraan masyarakat di persekitaran.

"Sekiranya disabitkan kesalahan, denda maksimum berjumlah RM10,000.00 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan bagi kesalahan kali pertama," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap melalui operasi berkenaan ia akan dapat meningkatkan keprihatinan pihak pengurusan industri mengenai penyakit demam denggi.

"Selain itu, ia bertujuan untuk memastikan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pemilik premis, iaitu bersama-sama dalam menjaga kesihatan diri dan masyarakat di sekeliling," katanya. - Sinar Harian