KUALA LUMPUR: Lapan lagi lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan Wilayah Persekutuan KL, Sarawak dan Sabah.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti di lokaliti terbabit.

Di Sabah sebanyak enam lokaliti dikenakan PKPD membabitkan Kampung Bukit Gemuk, Tawau, Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau, Perumahan Etara, Jalan Agaseh, Lahad Datu, Kampung Landung Ayang dan Taman Lavender di Kudat.

Sementara itu PKPD juga dikenakan di Perumahan Awam Desa Rejang, WP Kuala Lumpur selepas KKM mendapati terdapat peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat apabila 264 kes positif direkodkan hasil daripada 3,512 saringan dengan kadar positiviti 7.52%.

PKPD turut dilaksanakan di Kampung Serikin, Bau, Bahagian Kuching, Sarawak  selepas KKM  hari ini melaporkan sebanyak 20 kes positif COVID-19 telah direkodkan hasil daripada 83 ujian saringan yang telah dilakukan oleh KKM dengan kadar positiviti 24.1%.

Pada masa sama, KKM mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

Kesemua lokaliti tersebut dikenakan PKPD bermula 18 Jun sehingga 1 Julai 2021.

Sementara itu kerajaan turut memutuskan untuk menamatkan tempoh PKPD di beberapa lokaliti membabitkan Pulau Pinang dan Sabah bermula 17 Jun 2021.

Ia melibat 13 lokaliti sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12, Barat Daya, Pulau Pinang dan juga Mukim Pekan, Kunak serta SMU Pantai Manis, Papar, Sabah.