TAWAU: Polis menahan lapan lelaki termasuk seorang warga asing yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Bazar Ramadan Sabindo, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata kesemua yang berusia antara 17 hingga 34 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sini selepas polis menerima laporan berkaitan kejadian pada 8.37 malam tadi.
Advertisement
"Polis turut merampas satu rantai motosikal yang disyaki digunakan dalam pergaduhan itu.
"Siasatan awal mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan rasa tidak puas hati antara dua kumpulan, namun siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua lelaki itu akan direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Semalam, tular dua video pergaduhan membabitkan beberapa lelaki di tapak bazar Sabindo berdurasi 17 dan 20 saat, yang mengundang rasa kurang senang warganet dengan menasihatkan agar perkara sedemikian tidak dilakukan di kawasan kunjungan keluarga serta dalam Ramadan yang mulia ini.
-- BERNAMA