PADANG TERAP: 38 saman dikeluarkan ke atas lapan remaja selepas ditahan polis kerana disyaki menunggang motosikal secara merbahaya sambil berlumba sesama sendiri di simpang empat Kampung Pinang, Pedu dekat Padang Terap, petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, kesemua remaja lelaki berusia antara 15 hingga 19 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan dan Pemantauan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jam 5 petang semalam.

Beliau berkata, operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, Inspektor Firdaus Mahadi bersama enam anggota.

"Hasil pemeriksaan mendapati ketika itu terdapat sekumpulan remaja sedang menunggang motosikal secara merbahaya sambil berlumba sesama sendiri.

"Lapan remaja terbabit ditahan manakala lapan motosikal disita untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Mulkiaman berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati, sebanyak 38 saman pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan terhadap mereka.

Beliau berkata, lima daripada remaja itu turut dikompaun RM1,500 seorang kerana tidak memakai pelitup muka manakala seorang remaja ditahan bersangkut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sehubungan itu, Mulkiaman menasihati semua masyarakat di daerah Padang Terap supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan juga patuh SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19 ketika ini.

Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memastikan anak-anak tidak keluar rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika tiada kepentingan.

Mulkiaman berkata, polis akan sentiasa turun padang untuk melakukan pemantauan dan tidak berkompromi dengan sesiapa dalam melaksanakan tugas ini.