Lapan rakyat Malaysia terkandas di Uganda selamat tiba di tanah air

Bernama
Julai 13, 2020 05:10 MYT
KAMARUDIN: Setibanya di KLIA, semua warganegara Malaysia tersebut akan menjalani proses saringan kesihatan serta perlu menjalani proses kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing. - Gambar fail
Lapan rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di Uganda akibat penutupan sempadan negara berkenaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 selamat tiba di tanah air hari ini.
Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata repatriasi berkenaan dibiayai secara bersama oleh kerajaan Malaysia dengan rakyat Malaysia berkenaan.
Kesemua warganegara Malaysia itu berlepas dari Uganda ke Tanzania menggunakan penerbangan sewaan khas dan kemudian penerbangan komersial Qatar Airways dari Tanzania ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba pada 8.25 pagi ini.
"Setibanya di KLIA, semua warganegara Malaysia tersebut akan menjalani proses saringan kesihatan serta perlu menjalani proses kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Luar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya dan Konsul Kehormat Malaysia di Uganda Habib Kagimu, yang telah membantu kumpulan rakyat Malaysia tersebut selama mereka terkandas dan memudah cara kepulangan mereka ke tanah air, katanya.
-- BERNAMA
#Habib Kagimu #Kamarudin Jaffar #kediaman #Kementerian Luar #kerajaan #kesihatan #KLIA #kuarantin #penerbangan #rakyat Malaysia #repatriasi #rumah #sewa khas #SOP #terkandas #Uganda #ujian saringan