Lapan buah keluarga di Jalan Madrasah, Jelutong Pulau Pinang tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran kira-kira jam 4 petang tadi.

Bagaimanapun, kebakaran yang melibatkan rumah kampung jenis kayu itu tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Ismail Md Zain berkata, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.06 minit dan tiba 10 minit kemudian.

Sebaik tiba pihaknya mendapati, tujuh daripada lapan buah rumah musnah sepenuhnya berikutan api marak dengan cepat ekoran struktur kediaman yang diperbuat daripada kayu.

"Semasa pihak bomba tiba di lokasi kebakaran, sebahagian daripada lima buah rumah itu telah hangus terbakar dan api marak dengan cepat kerana rumah terlalu rapat serta jenis kayu," katanya di sini hari ini.

Kebakaran katanya dapat dikawal pada jam 4.58 petang.

Sementara itu, seorang penghuni, Zaharah Mohd Nor, 67, berkata kebakaran berlaku ketika dia sedang menunggu untuk menunaikan solat Asar sebelum dikejutkan dengan jeritan api oleh jiran.

Dia yang melihat kepulan api dan asap hitam terus berlari untuk menyelamatkan diri dan bersyukur kerana dia dan empat ahli keluarga lain terselamat dalam kejadian tersebut.

"Waktu tu saya tak ada buat apa, baru sudah sembahyang. Pukul 4 petang dekat waktu Asar dengar jeritan ada api. Lepas tu dengar bunyi letupan, makcik pun keluar," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Seorang lagi mangsa, Rahalina Ahmad berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen dan melipat kain dan terkejut apabila anaknya menjerit memberitahu rumah mereka terbakar.

"Sedang tengok TV sambil lipat kain, asap penuh dan anak panggil turun. Tengok api sedang marak. Barang semua tak dapat selamat," katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.