KUALA LUMPUR: Lapan individu termasuk seorang wanita warga tempatan ditahan petang semalam di sebuah stesen minyak di hentian Rehat dan Rawat Tapah, arah Selatan,dipercayai terlibat kes bunuh seorang lelaki di sebuah kondominium di Taman Perindustrian, Bukit Serdang, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A. Anbalagan berkata kesemua suspek lelaki berumur 25 hingga 32 tahun manakala suspek wanita berumur 26 tahun yang merupakan suspek utama.

Menurut beliau, hasil soal siasat mendapati selepas kejadian terbabit, kesemua suspek dipercayai telah melarikan diri ke Perak.

"Motif kejadian bunuh itu disyaki kerana cemburu dan dendam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut daripada adik perempuan mangsa pada pukul 5.29 petang, Isnin lepas.

Mangsa yang berusia 31 tahun mengalami kecederaan teruk di mata, hidung dan pendarahan di kedua-dua belah telinga serta punca kematian adalah akibat pukulan objek tumpul.

-- BERNAMA