KHARTOUM: Penerbangan keluar dan masuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum, Sudan disambung semula pada Rabu, sehari selepas pihak berkuasa penerbangan awam negara itu umum menggantung operasi hingga 30 Oktober.

Orang ramai dilihat mula berbaris di luar syarikat penerbangan Sudan ketika berita mengenainya tersebar.

Perkembangan ini menyusul tindakan pasukan keselamatan sudan menahan tiga tokoh pro-demokrasi terkemuka pada Rabu, ketika tekanan dalaman dan antarabangsa memuncak ke atas tentera negara itu berikutan rampasan kuasanya.

Penangkapan itu dibuat ketika protes menentang rampasan kuasa diteruskan di ibu negara Khartoum.

Ia menyebabkan banyak perniagaan ditutup sebagai tanda protes.

Rampasan kuasa itu mengancam untuk menghentikan proses peralihan Sudan kepada demokrasi, yang bermula selepas penggulingan pemerintah lama, Omar al-Bashir pada tahun 2019 dalam satu pemberontakan kuasa rakyat.