Lapangan terbang, peraturan dan prasarana perlu berkembang seiring lonjakan permintaan di ASEAN

Industri penerbangan juga bakal memasuki anjakan struktur yang akan menguji kesediaan lapangan terbang, dasar dan guna tenaga. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Aspek lapangan terbang, peraturan serta infrastruktur di serata rantau ini perlu giat diperkemas agar seiring dengan lonjakan permintaan perjalanan udara, termasuk jangkaan ASEAN muncul sebagai ekonomi ketiga terbesar dunia dalam dekad seterusnya, kata Malaysia Aviation Group (MAG).
Ringkasan AI
- Malaysia Aviation Group (MAG) menekankan perlunya meningkatkan aspek lapangan terbang, peraturan, dan infrastruktur di rantau ini bagi menyokong lonjakan permintaan perjalanan udara, khususnya dengan jangkaan ASEAN menjadi ekonomi ketiga terbesar dunia.
- Industri penerbangan Asia-Pasifik dijangka berkembang pesat, menuntut penyesuaian lapangan terbang, dasar, dan tenaga kerana menyumbang sehingga 32 peratus kapasiti penerbangan global yang dijangka meningkat kepada 48 peratus menjelang 2030.
- Pertumbuhan pesat industri penerbangan, termasuk penggunaan pesawat baharu, mencetuskan keperluan pembangunan lapangan terbang, infrastruktur sokongan, dan penekanan kepada penggunaan bahan api penerbangan mampan bagi mencapai matlamat pelepasan karbon sifar menjelang 2050.
Beliau berkata seiring dengan perkembangan itu juga, sumbangan ASEAN dijangka tumbuh daripada kira-kira tujuh peratus pada masa ini kepada kira-kira 12-15 peratus menjelang akhir dekad ini.
"Memandangkan ASEAN dijangka muncul sebagai ekonomi ketiga terbesar dunia, penerbangan akan menjadi pengupaya penting bagi perdagangan, pelancongan serta kesalinghubungan.
"Namun, pertumbuhan pada skala sedemikian memerlukan lapangan terbang serta infrastruktur sokongan melakukan perubahan secara asas," katanya.
Kapten Izham berkata kira-kira 42,000 pesawat baharu dijangka beroperasi di peringkat global pada dekad-dekad akan datang, sekali gus memberi tekanan hebat ke atas kapasiti lapangan terbang, sistem pengendalian daratan atau lapangan, bekalan tenaga, perhubungan pengangkutan dan infrastruktur sokongan seperti hotel serta kemudahan logistik.
"Seiring pertumbuhan syarikat penerbangan, lapangan terbang juga perlu berkembang sama ada dengan meningkatkan terminal sedia ada atau pembangunan yang baharu. Infrastruktur bukan lagi mengenai landasan dan terminal; ini merangkumi pengangkutan darat, sistem tenaga atau kuasa serta kesediaan lapangan terbang terhadap teknologi baharu," katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerangka pengawalseliaan perlu seiringan dengan perubahan pesat teknologi, terutama dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta kemampanan.
Peralihan tenaga, katanya, juga menjadi elemen penting dengan bahan api penerbangan mampan (SAF), elektrifikasi dan hidrogen dijangka berperanan penting dalam usaha industri mencapai matlamat pelepasan karbon sifar menjelang 2050.
Atas alasan itu, Kapten Izham mengingatkan MAG untuk kekal berdisiplin serta teguh dalam melaksanakan strategi perniagaan jangka pankang agar kekal berdaya saing di tengah-tengah peningkatan persaingan di peringkat serantau serta global.
"Ketika trafik penumpang global diunjur tumbuh kira-kira 3.8 peratus setahun sepanjang dekad seterusnya, rantau Asia-Pasifik dijangka mengatasi purata global dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sekitar 5.3 peratus dan tambahan kira-kira 2.7 bilion penumpang baharu," katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan prospek pertumbuhan itu disertai risiko, termasuk penangguhan penghantaran pesawat, gangguan rantaian bekalan, kekurangan tenaga kerja serta geopolitik yang tidak menentu.
Di peringkat industri, lebih 17,000 pesawat masih dalam proses tempahan di serata dunia dengan kelewatan penghantaran dijangka berterusan sehingga sedekad lamanya manakala Asia Pasifik sahaja memerlukan anggaran 400,000 juruterbang baharu, sejuta anak kapal dan 600,000 jurutera dalam tahun-tahun akan datang.
"Kekangan sedemikian memerlukan syarikat penerbangan untuk membuat perancangan secara konservatif, membuat pelaburan secara srategik dan berada di barisan hadapan.
"Bagi MAG, usaha untuk mengekalkan daya tahan bukan pilihan, sebaliknya asas jika mahu bersaing secara berkesan dalam transformasi perubahan landskap yang pesat," katanya.
Beliau juga menyifatkan dekad akan datang sebagai paparan peringkat awal suntikan nafas baharu secara meluas bagi penerbangan dengan perubahan struktur atau penting dijangka membentuk industri itu menjelang 2040.
"Apa yang disaksikan pada masa ini adalah permulaan kepada satu era baharu. Syarikat yang bertindak menyesuaikan diri lebih awal dari segi infrastruktur, peraturan, teknologi dan tenaga akan menjadi penentu masa depan industri penerbangan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


