Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM70 juta bagi menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan untuk memberi keselesaan kepada penumpang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata ia antara lain membabitkan menambah keluasan terminal sebanyak 3,000 meter persegi, naik taraf kawasan berlepas dan menunggu penumpang, kawasan pemeriksaan imigresen, kawasan ruang imbasan beg, sistem mekanikal dan elektrikal, pemasangan pendingin hawa untuk seluruh terminal dan tambahan kawasan letak kereta.

"Ia akan dimulakan secepat mungkin dalam tahun ini selepas pelan reka bentuk kerja naik taraf disiapkan dan pihak Malaysia Airports Berhad (MAB) sudah memberikan kepada kami input yang diperlukan.

"Kerja naik taraf ini akan disiapkan dalam tempoh masa lapan belas bulan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Lapangan Terbang Sandakan di sini hari ini.

Turut serta Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Rahim Bakri, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Berhad Tan Sri Bashir Ahmad.

Keong berkata kerja menaik taraf itu sejajar dengan peningkatan jumlah penumpang yang menggunakan lapangan terbang itu yang berjumlah 820,000 orang pada tahun lepas, peningkatan 5.8 peratus berbanding 2011.
"Jika trend peningkatan pada kadar 6 peratus setiap tahun, dianggarkan pada 2020 lapangan terbang ini tidak mampu memenuhi keperluan daripada segi kapasiti.

"Dengan naik taraf ini membabitkan ruang lebih luas dan naik taraf kapasiti, ia mampu memenuhi keperluan itu," katanya.

Menurutnya langkah itu juga selaras dengan usaha untuk menjadikan Sandakan sebagai hab dan pintu masuk utama kepada ekopelancongan di rantau ini.
Beliau berkata selain itu ia juga menunjukkan kesungguhan kerajaan pusat dalam memacu pembangunan di Sabah yang merupakan sebuah daripada negeri terpenting dalam menjayakan Pelan Transformasi Negara.