MALAYSIA
Laporan audit keselamatan lebih 700 sekolah siap dalam dua bulan - Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika ditemu bual pemberita pada Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman hari ini. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) telah selesai melaksanakan audit keselamatan di lebih 700 sekolah di seluruh negara setakat ini, dan laporan audit berkenaan dijangka siap dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.
Ringkasan AI
- KPM selesai audit keselamatan di lebih 700 sekolah dan laporan dijangka siap dalam 1-2 bulan untuk memperkukuh kesejahteraan serta keselamatan pelajar.
- Cadangan Kerangka Safe School dibentangkan dalam Belanjawan 2026, termasuk penambahan guru kaunseling dan program sokongan kesihatan mental di sekolah.
- KPM beri kerjasama penuh siasatan kes kematian murid tahun empat di Seremban, yang disahkan berpunca daripada tekanan pada leher.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata KPM telah mengemukakan beberapa cadangan berkaitan dalam pembentangan Belanjawan 2026 di bawah Kerangka Safe School.
"Dalam kerangka ini, kita minta untuk dipertimbangkan antara lain ialah penambahan waran guru kaunseling secara besar-besaran dan melihat juga program sokongan kesihatan mental di sekolah, mudah-mudahan kerangka Safe School kita ini mendapat perhatian dalam belanjawan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan KPM mengarahkan Ketua Jemaah Nazir mengerah semua anggotanya menjalankan audit keselamatan sekolah dengan laporan perlu dikemukakan setiap minggu sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh aspek keselamatan di sekolah dan asrama.
Mengulas mengenai insiden seorang murid lelaki tahun empat meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah di Seremban, Negeri Sembilan, Fadhlina berkata KPM masih menunggu hasil siasatan polis.
"Siasatan masih lagi dijalankan dan kita telah memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis dalam siasatan tersebut," katanya.
Rabu lepas, seorang murid lelaki tahun empat ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.19 tengah hari, ketika mangsa berusia 10 tahun itu sedang menerima rawatan awal di sebuah pusat perubatan swasta berhampiran.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan oleh tekanan pada leher, namun tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami