Siasatan perlu dibuat susulan keraguan yang timbul dalam proses perolehan bagi peralatan latihan untuk Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1, wujud keraguan dalam proses pemilihan pembekal kerana enam syarikat terpilih mempunyai perkaitan antara satu sama lain.

Menurutnya, maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) antara lain mendapati pembiaya perniagaan bagi keenam-enam syarikat berkenaan adalah syarikat pemfaktoran yang sama selain penggunaan setiausaha syarikat yang sama.

"Semakan Audit terhadap dokumen yang dikemukakan syarikat pembekal mendapati format nota penghantaran dan invois bagi keenam-enam syarikat mempunyai persamaan. Perkara ini boleh menimbulkan keraguan," kata laporan itu merujuk kepada pengauditan yang dibuat antara Januari dan April 2017.

Ia berkata pihak Audit juga tidak menemukan bukti yang menunjukkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) pernah melaksanakan penilaian latar belakang terhadap enam syarikat itu di SSM sebelum meneruskan proses perolehan mengikut arahan Kementerian Kewangan (MoF).

Sejumlah RM37.1 juta diperuntukkan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 untuk pembekalan peralatan bagi kontrak melibatkan enam syarikat pembekal yang dilantik melalui kaedah tender terhad untuk membekalkan 471 item peralatan tahap tiga dan lima di 27 ILJTM.

ILJTM itu merangkumi Institut Teknikal Jepun-Malaysia, Pusat Latihan Teknologi Tinggi dan Institut Latihan Perindustrian (ILP).

KSM dalam maklum balasnya berkata sebarang isu berkaitan perolehan perlu dirujuk terus ke Bahagian Perolehan Kerajaan, MoF selaku pihak berkuasa melulus asal.

"Pada pendapat Audit, siasatan seharusnya dilakukan terhadap perkara-perkara yang telah menimbulkan keraguan, sama ada proses perolehan telah dijalankan secara telus dan menepati prinsip perolehan kerajaan iaitu saingan terbuka, adil dan saksama," kata laporan itu. -- Bernama