KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memuat naik laporan yang disediakan oleh Jawatankuasa Perolehan, Tadbir Urus dan Kewangan ke laman sesawangnya.

Menurut Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, keputusan memuat naik laporan itu dibuat selepas statusnya diubah dan tidak lagi dianggap rahsia.

"Ini adalah lanjutan daripada syor PAC kepada kerajaan pada 4 Ogos lalu dan keputusan Kabinet mengenainya pada 10 Ogos," katanya

Pada Isnin, PAC menerima surat memaklumkan bahawa laporan jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Ambrin Buang telah dinyah rahsia.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria memaklumkan kepada PAC, beberapa bahagian daripada laporan itu dipadam atas nasihat Jabatan Peguam Negara.

Langkah menyahrahsiakan laporan berkenaan diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Ogos lalu selepas ia dipersetujui Kabinet.

Ismail Sabri juga berkata, Kabinet mencadangkan laporan daripada audit forensik mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) itu dinyahrahsiakan, namun, tertakluk kepada nasihat Peguam Negara dan Ketua Audit Negara.