Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim menyifatkan pendirian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu memanggil kementerian untuk memberi keterangan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1, yang dibentangkan minggu lalu, sebagai langkah proaktif bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan.

Kata beliau, langkah itu juga akan membaiki persepsi dan tanggapan sesetengah pihak kononnya ada unsur mahu menutup kelemahan yang disenaraikan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Sambil menegaskan bukan kesemua isu yang disentuh Ketua Audit Negara sebagai kesalahan berunsur rasuah, Razali berkata, keputusan PAC itu juga akan membantu fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini kerana jika dahulu Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan setahun sekali, sekarang tiga kali setahun. Saya percaya langkah PAC boleh bantu kita," kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, PAC merupakan badan relevan membuat penelitian ke atas agensi-agensi yang didapati melakukan tindakan melanggar prosedur kewangan dan sebagainya sebelum disyorkan kepada SPRM jika perlu.

"Oleh kerana PAC menjalankan siasatan secara terbuka, maka proses ini dapat mengelakkan persepsi bahawa ada usaha mahu menutup kelemahan. Kita mengalu-alukan tindakan PAC," kata beliau lagi.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Forum dan Penyampaian Sijil Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri Keenam di Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). Seramai 31 CeIO menerima sijil tauliah daripada Razali.

Pada 8 April lalu, Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya akan memanggil lima kementerian untuk memberi keterangan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1.

Nur Jazlan berkata, kementerian berkenaan ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu berhubung isu pembangunan Empangan Paya Peda di Besut, Terengganu; Kementerian Kesihatan (pengurusan program pembelian makanan dan peralatan perubatan di hospital) dan Kementerian Pendidikan (pembinaan kampus Sultan Azlan Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)).

Dua lagi kementerian ialah Kementerian Dalam Negeri berhubung isu pengurusan perolehan peralatan untuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Kementerian Kerja Raya (isu pembinaan Kompleks Mahkamah Kuantan yang baharu, pengurusan pangkalan marin dan pembinaan Politeknik Banting).

Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 telah menyentuh 17 audit untuk agensi Kerajaan Persekutuan, enam badan berkanun persekutuan dan 31 kerajaan negeri, badan berkanun negeri, pihak berkuasa tempatan serta majlis agama Islam.

Laporan ini juga telah membuat pengauditan pengurusan syarikat kepada dua syarikat Kerajaan Persekutuan, tiga badan berkanun persekutuan serta 14 syarikat kerajaan negeri, badan berkanun negeri dan sebagainya.

Menurut Nur Jazlan, PAC mendapati bahawa ada beberapa kementerian yang perlu dipanggil memberi penjelasan mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan dengan lima kementerian tersebut diberi keutamaan.

Mengenai Program CeIO, Razali berkata, rakyat segenap lapisan masyarakat akan membantu inisiatif yang ditawarkan oleh Akademik Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Seperti (usaha memerangi) rasuah, integriti juga mempunyai peranan penting bagi mengelak elemen salah guna kuasa dan penyelewengan di organisasi," kata beliau lagi.

Setakat ini lebih 180 pegawai dari agensi kerajaan dan swasta telah mengikuti Program CeIO.