HULU SELANGOR: Soal pembangunan sememangnya perkara yang amat digalakkan sebagai usaha untuk memacu ekonomi negara ke peringkat yang lebih tinggi disamping matlamat itu memerlukan sokongan yang jitu.

Bagaimanapun, dalam keghairahan kita membangunkan projek mega, tanpa sedar atau disengajakan mungkin telah mengakibatkan alam sekitar menjadi korban sehingga penduduk setempat turut merasai tempiasnya.

Hakikatnya, kesan itu sudah kelihatan di sebuah rumah inap yang dikenali sebagai Riverstone Eco Resort di Sungai Tua, Ulu Yam, di sini.

Memang tidak dinafikan, lubuk warga kota untuk mencari ketenangan atau lari dari kesibukan bandar itu dahulunya pernah indah dihiasi flora dan fauna selain terkenal dengan makanan tradisi Nasi Ambeng.

Melihat kepada apa yang berlaku, suasana ketenangan yang diidamkan oleh penggemarnya didakwa seakan 'dirobek' susulan pelaksanaan projek pembinaan terowong Laluan Rel Pantai Timur atau ECRL.

Keadaan kolam dari aliran sungai yang sebelum ini jernih telah bertukar keruh. - Foto Astro AWANI

Pemandangan kolam yang dahulunya sarat dengan pelbagai spesies ikan dan tumbuhan juga musnah apatah lagi kualiti air yang pernah jernih itu kini hanya tinggal pemandangan air yang keruh.

Seri di kawasan itu juga dikatakan semakin terhakis sejak ia mula ditimbus dengan pembangunan projek berkenaan.

Keadaan jauh sudah berubah apatah lagi pengusahanya sendiri yang bukan sekadar rugi bahkan tersepit akibat terputus punca pendapatan dan mungkin berada di ambang penutupan perniagaan. 

Tidak senang duduk, pengusaha rumah inap, Mohamed Ashari Sidek mengadu nasib kepada Astro AWANI.

Rintihan yang dibawa turut membawa harapan agar adanya jalan penyelesaian yang konkrit untuk menutup segala kebuntuan.

Pemilik Riverstone Eco Resort, Mohamed Ashari Sidek yang kecewa dengan kesan yang dialami. - Foto Astro AWANI

“Dia (ECRL) kena faham, kami juga cari makan di sini jadi kalau pelanggan kami dah tak datang apa kami nak makan… apa dah jadi dengan keadaan jalan yang dah lecek (tidak lagi rata) disebabkan laluan jentera berat.

“Kawasan pun dah mula berhabuk, punca air bersih kami juga terjejas jadi macam mana nak teruskan aktiviti harian?

“Pihak yang majukan projek ini sepatutnya perlu fikirkan sesuatu  jadi kita mohon lah buat sesuatu atau usahakan apa yang patut misalnya ganti rugi dan sebagainya,” luahnya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Mengenang nasib yang sama, pemilik lot tanah di kawasan sama, Datuk Kamaruzaini turut meluahkan perasaan terpendam apabila hanya mampu melihat kawasan tanah dimamah projek berkenaan.

Meskipun ada diberitahu mengenai keadaan itu, namun dakwanya tiada sebarang perbincangan yang khusus sebaliknya tanah secara terus ditarah dan kenderaan jentera berat menjadi tatapan harian tanpa menghiraukan pemiliknya.

Keadaan tanah yang tidak dikawal selia dengan baik dibimbangi mendatangkan risiko tanah runtuh. - Foto Astro AWANI

Katanya, impian untuk berehat selepas waktu pencen dengan membangunkan rumah inap kini bertukar seperti igauan ngeri. Manakan tidak, struktur tanah yang semakin meninggi cukup berhampiran dengan kawasan pembangunannya.

Tidak cukup dengan itu, kebimbangan bertambah apabila mengenangkan sendiri tragedi tanah runtuh Batang Kali yang tidak mustahil berulang sekiranya aspek keselamatan hanya dipandang enteng.

Pemilik tanah, Datuk Kamaruzaini bimbang projek mampu mendatangkan risiko terhadap pembangunannya. - Foto Astro AWANI

“Pegawai ECRL memang ada datang jumpa saya tetapi perbualan itu macam ‘sembang kedai kopi’… selang beberapa bulan dia terus lanyak tanpa ada belas kasihan.

“Kita sebagai penduduk memang kecewalah, tanah belakang bangunan saya memang dah cukup tinggi bila-bila masa boleh runtuh, memang dekat dengan kawasan saya jadi kalau apa-apa berlaku siapa pula nak tanggungjawab?,” dakwanya.

Keluhan mangsa turut dipanjangkan kepada pihak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebagai langkah untuk mengangkat suara pengadu.

Reaksi awal pihaknya mengharapkan adanya perbincangan dengan kesemua pihak selain pihak terlibat perlu bertanggungjawab sekiranya wujud individu yang terkesan akibat projek tersebut.

Projek pembinaan terowong laluan rel pantai timur ECRL yang sedang berjalan di Ulu Yam. - Foto Astro AWANI

“Saya kesal jika projek ECRL ini berikan kesan kepada mana-mana pihak atau masyarakat setempat, buat masa ini saya belum dapat laporan penuh mengenai kejadian tersebut.

“Sudah pasti kalau ada pihak yang terlibat, Kementerian Pengangkutan akan minta syarikat SPV yang kita bentuk untuk projek ECRL ini iaitu MRL untuk berunding dengan pihak kontraktor atau bagaimana untuk bantu pihak terlibat dan tanggungjawab memang perlu diambil,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI baru-baru ini.

Gambaran yang lebih jelas akan dibawakan menerusi siri Laporan Khas AWANI745 malam ini.