Laporan penuh insiden ECRL dijangka diketahui kurang dua minggu - Kesuma

Insiden runtuhan struktur binaan sementara projek itu dipercayai berpunca daripada perlanggaran boom jentera kren pengangkat yang digunakan untuk kerja pemeriksaan ketebalan cat. - JBPM Selangor
REMBAU: Laporan penuh berkaitan insiden runtuhan struktur binaan sementara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Batu Caves dijangka diketahui dalam tempoh kurang dua minggu.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Azman Mohd Yusof berkata pihak berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah turun padang dan sedang mengumpul maklumat sebelum laporan dimuktamadkan.
"Kita tunggulah dalam seminggu atau seminggu setengah untuk mendapatkan hasil laporan dan daripada hasil laporan itu nanti baru kami akan menyatakan perkara selanjutnya sama ada tindakan mahkamah atau sebagainya.
"Perkara ini teknikal, banyak yang perlu dirujuk termasuk dalam konteks undang-undang, kami nak tahu punca kes ini... adakah kerana aspek teknikal atau tidak mengikut skop, ini semua akan disiasat," katanya selepas melancarkan Kampung Angkat MADANI KESUMA di Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong di sini hari ini.
Beliau berkata sebarang kemungkinan termasuk isu kecuaian, teknikal atau ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard juga akan diketahui selepas laporan siasatan disiapkan.
Azman turut menasihati semua pihak yang terlibat dalam kerja pembinaan supaya mematuhi peraturan berkaitan keselamatan pekerjaan, sekali gus memastikan kejadian sama dapat dielakkan pada masa hadapan.
"Kami banyak memperkenalkan peraturan dan undang-undang dalam konteks tenaga keselamatan pekerja dan sebagainya. Sasaran kami adalah mengurangkan kemalangan di tempat kerja sebab akhirnya kos itu juga akan dikenakan kepada pihak majikan yang tidak mahu mengikut peraturan berkenaan," katanya.
Pada Rabu lepas, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilaporkan berkata insiden runtuhan struktur binaan sementara projek itu dipercayai berpunca daripada perlanggaran boom jentera kren pengangkat yang digunakan untuk kerja pemeriksaan ketebalan cat.
Kerja berisiko tinggi itu juga didapati dijalankan tanpa Permit Kerja bertulis daripada kontraktor utama projek.
Azman ketika mengulas program hari ini berkata Kampung Chembong Batu 17A dan Kampung Air Hitam dipilih sebagai kampung angkat kementerian itu manakala SK Chembong sebagai sekolah angkat.
Beliau berkata inisiatif itu memberi manfaat kepada penduduk kampung melalui pelbagai pelaksanaan projek termasuk pembinaan susur gajah di SK Chembong, pemasangan lampu solar, pembaikan dan naik taraf dua balai raya di Kampung Chembong Batu 17A dan Kampung Air Hitam.
"SK Chembong turut menerima peruntukan RM100,000 bagi menaik taraf infrastruktur dewan sekolah, makmal komputer dan perolehan peranti elektronik skrin sentuh (tablet)," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


