Laporan siasatan EAIC: DOF batal pendaftaran lesen 40 kapal menangkap ikan di Johor

DOF menegaskan syor tindakan tatatertib akan dipertimbangkan ke atas pegawai yang cuai, ingkar perintah atau gagal melaksanakan tugas mengikut peraturan semasa.
KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah membatalkan pendaftaran 40 kapal penangkapan ikan di perairan Johor berikutan keputusan Mesyuarat Khas Penilaian Teknikal Vesel Penangkapan Ikan Zon C dan C2 pada 7 Julai 2025.
Menurut kenyataan DOF hari ini, tindakan tegas itu selaras dengan syor Laporan Siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi membatalkan lesen yang diperoleh melalui prosedur tidak teratur.
"Selain pembatalan lesen, tindakan susulan berkaitan integriti dan ketidakpatuhan prosedur turut dipertingkatkan.
"Hasil siasatan telah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF untuk tindakan lanjut terhadap pegawai yang terlibat," menurut kenyataan itu.
DOF menegaskan syor tindakan tatatertib akan dipertimbangkan ke atas pegawai yang cuai, ingkar perintah atau gagal melaksanakan tugas mengikut peraturan semasa.
Jabatan itu juga komited melaksanakan semua syor penambahbaikan tadbir urus yang dikemukakan EAIC.
"Ini termasuk menyedikan garis panduan permohonan ubah suai kapal melebihi 20 peratus, menambah baik sistem pengurusan fail di pejabat perikanan negeri, menetapkan had lesen perikanan atau kapal bagi setiap syarikat, dan memperkasa sistem e-Lesen," menurut DOF.
DOF menjelaskan semua langkah ini bertujuan memastikan proses pelesenan dijalankan dengan integriti, telus, dan mengikut undang-undang, demi melindungi industri perikanan negara serta menjamin kelestarian sumber marin.
Menurut jabatan itu, tindakan segera diambil susulan laporan EAIC bertarikh 24 Nov 2025 mengenai kelulusan 54 lesen perikanan kepada dua syarikat di beberapa negeri.
DOF menegaskan integriti, pematuhan prosedur, dan dasar pelesenan adalah asas tadbir urus jabatan dan sebarang salah laku, ketidakpatuhan atau unsur jenayah termasuk pemalsuan dokumen tidak akan ditoleransi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


