SHAH ALAM: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mengurung serta meliwat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Seksyen 32 di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata siasatan mendapati suspek dipercayai memperdaya mangsa dengan menawarkan untuk membelanja remaja terbabit pakej Internet telefon bimbit jika membantu lelaki berkenaan untuk mengangkat barang di rumahnya.
“Remaja itu kemudiannya diikat kaki dan tangan sebelum disyaki diliwat oleh suspek. Semasa dikurung dan ditinggalkan berseorangan di dalam rumah tersebut, mangsa berjaya membuka ikatan dan telah menjerit meminta bantuan melalui tingkap bilik rumah.
“Mangsa juga didapati telah dikurung selama kira-kira tiga jam sebelum diselamatkan oleh jiran berhampiran yang terus menghubungi pihak polis,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ramsay berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak dan mengingatkan mereka untuk tidak mendekati orang yang tidak dikenali bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Insp Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 342, 377C dan 323 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA