Skip to main content

Malaysia

Larangan penjawat awam guna Waze ambil kira risiko keselamatan, kedaulatan negara - PM

Perdana Menteri Anwar bergambar bersama calon Pilihan Raya Negeri Melaka pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.
Perdana Menteri Anwar bergambar bersama calon Pilihan Raya Negeri Melaka pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Advertisement

MELAKA: Kerajaan meneliti langkah berkaitan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan pegawai kerajaan atas pertimbangan keselamatan dan kedaulatan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, langkah itu bukan bertujuan mengharamkan Waze secara menyeluruh, sebaliknya mengambil kira risiko pemantauan pergerakan pegawai kerajaan, khususnya mereka yang mengendalikan urusan keselamatan negara.

“Saya mahu jelaskan mengapa isu Waze dibangkitkan. Pertama isu ini bukan semata-mata berkaitan aplikasi Waze tetapi kaitan Waze dengan sebuah syarikat yang mempunyai ibu pejabat di Israel.

“Kedua, persoalan tentang bidang kuasa undang-undang sekiranya berlaku pertikaian dengan syarikat tersebut. Dalam keadaan tertentu, perjanjian yang melibatkan syarikat antarabangsa boleh menimbulkan persoalan tentang mahkamah yang mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan pertikaian,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu' Naib Presiden PKR yang juga Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari.

Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan lanjut berhubung larangan menyeluruh aplikasi Waze hanya akan diputuskan selepas penelitian terhadap kemampuan alternatif sedia ada mempunyai keupayaan mencukupi.

Mengakui terdapat kelemahan dalam pelaksanaan langkah berkaitan Waze, Anwar berkata, beliau menerima teguran orang ramai, termasuk berhubung prestasi aplikasi navigasi alternatif tempatan, TuJu yang disifatkan masih mempunyai kekurangan dan perlu ditambah baik.

“Saya tidak mengatakan bahawa keputusan yang dibuat sebelum ini merupakan keputusan yang paling sempurna. Masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

“Namun, kita juga tidak boleh menyerahkan pertimbangan keselamatan dan kepentingan negara kepada pihak luar tanpa menilai risikonya. Jika terdapat alternatif yang lebih baik, kerajaan akan menelitinya,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu memastikan setiap langkah yang diambil tidak mengabaikan pendirian Malaysia terhadap tindakan Israel selain tidak menjejaskan kepentingan negara.

Anwar berkata, Malaysia sebagai negara berdaulat mempunyai hak untuk menentukan pendirian sendiri, termasuk dalam isu Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan kos sara hidup, beliau menegaskan, kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol RON95 daripada RM1.99 seliter selagi Kerajaan MADANI memegang mandat untuk memerintah negara, meskipun harga minyak mentah dunia meningkat dengan ketara.

Anwar berkata, kerajaan memilih untuk menyerap peningkatan kos berkenaan bagi mengelakkan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, menanggung beban tambahan akibat kenaikan harga petrol.

"Lebih baik kerajaan terbeban daripada membebankan rakyat," kata beliau sambil menegaskan usaha melindungi kebajikan rakyat akan terus menjadi pertimbangan dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

Pada majlis itu, Anwar mengumumkan 21 calon yang bakal mewakili PH pada PRN Melaka yang akan berlangsung pada 14 November ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement