ALOR SETAR: Seorang pegawai kanan agensi penguat kuasa di Kedah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 tuduhan rasuah membabitkan jumlah RM3,900 mulai Julai hingga Disember 2018.

Tertuduh, Laskar Kanan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Mohd Fazli Azizan, 38 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, semua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Maybank Islamic Centre, Jalan Sultan Badlishah, di sini.

Ia didakwa dilakukan pada 5 Julai, 5 Ogos, 12 September, 19 Oktober, 25 Oktober, 26 Oktober, 1 November, 21 September, 3 Oktober, 9 November, 15 November dan 2 Disember 2018.

Mohd Fazli didakwa telah menerima untuk dirinya suatu barang berharga dengan tiada balasan melalui pindahan akaun Maybank Islamic Berhad dari Tan Kok Seng, melalui Lee Chuan Liang, sebanyak antara RM100 dan RM600, dalam tempoh tersebut.

Dia didakwa mengetahui Kok Seng mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya di Maritim Malaysia.

Kesemua kes didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah, boleh dipenjara maksimum dua tahun, atau didenda, atau kedua-duanya.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhamad Taufik Awaludin dan Mohd Syahzada Azad Sanusi memohon mahkamah memberikan ikat jamin sebanyak RM5,000.

Peguam bela yang mewakili tertuduh pula, Syed Naqiuddin Shahab, memohon mahkamah memberikan ikat jamin RM2,000 memandangkan anak guamnya perlu menyara dua isteri dan tiga anak.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis pada setiap bulan sepanjang perbicaraan.

Kes akan didengar semula pada 27 Mac depan bagi penyerahan dokumen berkaitan.