Datuk Mohamad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, menyeru para kartunis seluruh negara memainkan peranan dalam mengingatkan orang ramai untuk bermesra dan bergurau senda.

Aspek penyatuan kaum sememangnya sinonim dengan hasil-hasil karya Lat yang memaparkan kisah kehidupan anak-anak Malaysia berbilang bangsa seperti ‘The Kampung Boy’ yang diterbitkan pada 1979.

“Kita perlu tumpukan perhatian kepada kehidupan seharian kita dengan gurau senda memandangkan kebelakangan ini kehidupkan kita banyak menjurus kepada politik. Kemesraan itu penting dan penggiat seni seperti kartunis boleh memainkan peranan penting dalan konteks ini,” kata Lat.

Memetik lirik lagu ‘We can work it out’ oleh kumpulan The Beatles, beliau menyaran semua kaum di Malaysia untuk bersatu.

“Kita mesti mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain seperti masa-masa yang lepas. Hidup ini singkat. Seperti kata kumpulan The Beatles, ‘We can work it out. Life is very short, and there's no time for fussing and fighting, my friend’,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian semasa ditemui Astro AWANI di majlis pelancaran buku Apa Cerita? Hasil karya Ahmad Hilmy Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mie yang merupakan seorang arkitek berpengalaman di Puchong, pada Sabtu.