MALAYSIA
Latihan bahasa, etika pemanduan pemandu teksi sedang dirancang - Anthony Loke

Anthony pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-3 Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM). Foto Facebook/Anthony Loke Siew Fook
KUALA LUMPUR: Beberapa langkah penambahbaikan sedang dirancang menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, termasuk latihan asas bahasa dan etika pemanduan bagi mempertingkatkan profesionalisme pemandu teksi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata inisiatif itu penting bagi memastikan industri teksi terus relevan dan berdaya saing, selain mencerminkan imej negara kepada pelancong.
“Industri teksi bukan sekadar pengangkutan, tetapi merupakan wajah pertama negara kepada pelancong serta nadi penting perkhidmatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Beliau turut merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-3 Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM), pada Ahad.Menurut beliau, reformasi dalam sektor pengangkutan awam hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat bersama pemain industri seperti GTSM.
Dalam pada itu, kerajaan turut melanjutkan kadar insentif caruman PERKESO untuk pemandu daripada 10 peratus kepada 30 peratus sebagai usaha meningkatkan aspek keselamatan dan kebajikan mereka.
“Reformasi ini sedang berjalan. Saya komited untuk terus bersama warga industri dalam memperkukuh sektor pengangkutan awam demi manfaat rakyat,” katanya lagi.
GTSM merupakan gabungan pertubuhan yang mewakili pemandu teksi, kereta sewa, limosin dan teksi lapangan terbang dari seluruh negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami