RIYADH: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan lawatan rasmi empat hari beliau ke Arab Saudi sebagai sangat berjaya.

Selain meningkatkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Riyadh, lawatan itu juga membuahkan beberapa hasil positif untuk Malaysia.

"Ia sangat berjaya, kita mempunyai kesefahaman dan komited untuk pembangunan dua hala.

“Putera Mahkota (Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud) juga menjelaskan agenda pembangunan negara yang jelas selain layanan yang peramah dan layanan istimewa buat Malaysia.

“Apa yang rakyat hajatkan saya telah laksanakan, yang penting apa matlamat lawatan ini dan apa hasilnya, dan hasilnya sangat memuaskan," kata beliau semasa mengakhiri lawatan pada Selasa (Rabu waktu Malaysia).

Antara perkara penting yang dicapai adalah tambahan 10,000 kuota jemaah haji serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Perkara lain termasuk perbincangan mengenai kemungkinan Arab Saudi meningkatkan import minyak sawitnya daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta tahun lepas kepada 500,000 tan dalam masa terdekat.

Bagi tambahan kuota haji, permohonan itu dibenarkan ketika Muhyiddin menghadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah di sini pada hari terakhir lawatan.

Haji | Malaysia peroleh 10,000 kuota tambahan Haji - PM


Malaysia juga menjadi negara pertama disenaraikan dalam inisiatif Perkhidmatan Jalan Makkah yang akan memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

"Sebelum ini hanyalah projek perintis. Melalui inisiatif ini, akan menjadi ciri tetap," kata seorang diplomat.

Memorandum persefahaman mengenai inisiatif itu telah ditandatangani antara kedua-dua negara di istana berkenaan.

Susulan komitmen untuk meningkatkan hubungan ke tahap lebih tinggi, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan Pusat Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia untuk membuka jalan bagi perundingan dan tindakan lanjut secara berkala mengenai hal-hal kepentingan dan manfaat bersama.

"Kami tidak mahu bercakap dan bercakap tetapi tidak ada yang berlaku selepas itu. Kita akan mempunyai mekanisme berstruktur untuk diketuai bersama oleh menteri luar kedua-dua negara," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata beliau dan Putera Mahkota akan memantau tindakan dan kemajuan yang dicapai majlis itu.

MoU mengenai penubuhan majlis itu juga ditandatangani oleh kedua-dua negara di istana.

Perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu turut menyentuh mengenai ekonomi, pertahanan, pendidikan, jaminan makanan, perdagangan dan pelaburan.

"Kami mengadakan perbincangan panjang lebar dan berterusan semasa makan malam kami. Perbincangannya sangat padat," kata Muhyiddin.