Lawatan ke China erat hubungan dua hala, kukuh kerjasama sektor halal - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (kanan) mempengerusikan sesi 'pre-council' bersama delegasi Malaysia bagi meneliti setiap agenda dan rangka lawatan beliau ke China. - Facebook Ahmad Zahid
SHANGHAI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata lawatan kerja empat hari beliau ke China bertujuan mempereratkan lagi hubungan dua hala Malaysia-China.
Ringkasan AI
- Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri ke China bertujuan mempereratkan hubungan dua hala Malaysia-China.
- Lawatan tersebut memfokuskan pada sektor halal, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), serta perdagangan antara kedua negara.
- China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan nilai dagangan Malaysia-China mencapai RM484.12 bilion pada 2024.
"Sepanjang lawatan ini, saya dijadual menghadiri pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) kelapan dan merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025 sebagai platform mempromosi industri halal Malaysia di pasaran global.
"Selain itu, saya akan melawat Pavilion Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM), simbol kerjasama erat antara komuniti perniagaan Malaysia dan China, serta menyaksikan beberapa pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi dan syarikat Malaysia dengan pemain industri di China," katanya.
Ahmad Zahid turut berharap lawatan kali ini dapat mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kepercayaan, memacu inovasi dan membuka peluang baharu yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat di kedua-dua negara.
Semalam, Ahmad Zahid tiba di Shanghai pada 11.14 malam dan lawatan Timbalan Perdana Menteri ini adalah atas undangan kerajaan China untuk menghadiri CIIE yang berlangsung di National Exhibition and Convention Center (NECC).
CIIE merupakan inisiatif kerajaan China yang menyediakan platform bagi negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan untuk mempromosi dan mengeksport barangan serta perkhidmatan ke China.
Ini merupakan kali pertama Timbalan Perdana Menteri menghadiri ekspo tersebut, dan kali kedua Malaysia hadir pada peringkat tertinggi sejak penganjuran pertama pada 2018. Tahun lalu, CIIE ketujuh telah dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hari ini, Ahmad Zahid dijadual menghadiri Majlis Pembukaan CIIE kelapan dan menyaksikan Majlis Pertukaran MoU antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Shanghai Jiao Tong University (SJTU), satu daripada sembilan universiti terkemuka di China serta merasmikan Pusat Informasi CIDBH.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan nilai dagangan Malaysia-China mencapai RM484.12 bilion pada 2024, menyumbang 16.8 peratus daripada nilai perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.
Dalam sektor halal, Malaysia mencatatkan eksport halal bernilai RM61.79 bilion pada 2024, mewakili peningkatan 15 peratus daripada tahun sebelumnya.
China juga destinasi eksport halal kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah nilai eksport sebanyak RM7.04 bilion pada 2024.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Ahmad Zahid berkata beliau pagi ini mempengerusikan sesi mesyuarat persediaan bersama delegasi Malaysia bagi meneliti setiap agenda dan rangka lawatan supaya berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.
"Saya turut tekankan agar lawatan kerja kali ini mestilah berorientasikan hasil, bukan sekadar lawatan kerja semata-mata. Setiap pertemuan dengan rakan strategik di China perlu diterjemahkan kepada keberhasilan, nilai dan peluang baharu yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia, terutamanya terhadap rantaian nilai industri halal, pendidikan TVET, serta kerjasama teknologi dan inovasi.
"Doakan agar segala urusan kami di sini dipermudahkan dan memberi manfaat besar kepada rakyat serta memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa. Insya-Allah," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


