MANILA: Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Perindustrian (DTI) Alfredo Pascual berkata lima surat hasrat (LOI) yang ditandatangani dengan perniagaan Malaysia semasa lawatan negara Presiden Ferdinand R. Marcos Jr ke negara ASEAN itu mampu menjana lebih 8,000 pekerjaan.

Agensi Berita Filipina (PNA) memetik kenyataan Pascual pada Khamis mengenai ikrar pelaburan dalam bidang pemprosesan makanan, platform digital pelbagai perkhidmatan, penerbangan, perkhidmatan sokongan penyelenggaraan penerbangan, logistik, pembuatan, infrastruktur dan rawatan air dan air sisa.

"Kami menjangkakan LOI ini akan menyumbang kepada usaha pemulihan dan pengembangan ekonomi dalam bentuk 8,365 pekerjaan yang akan diwujudkan," katanya.

"Terdahulu, Istana Malacanan melaporkan bahawa Marcos memperoleh ikrar pelaburan bernilai AS$285 juta dalam lawatan rasminya ke Malaysia dari 25 hingga 27 Julai.

"Kami optimis LOI yang ditandatangani ini akan direalisasikan dalam beberapa bulan akan datang. Bagaimanapun, pelaburan biasanya merupakan komitmen jangka panjang dan bukannya tindakan segera kerana ia memerlukan kajian teliti, perancangan dan proses undang-undang sebelum ia boleh direalisasikan.

"Kami di DTI tetap komited untuk membantu mereka dalam meneruskan rancangan pelaburan tersebut," kata ketua DTI itu.

Beliau berkata LOI bersama syarikat tenusu Malaysia, Farm Fresh Bhd, dijangka menyumbang AS$20 juta tambahan untuk projek ternakan lembu tenusu.

DTI berkata pelaburan baharu itu yang akan dibangunkan di kawasan seluas 200 hingga 400 hektar, sama ada di Batangas atau Laguna, dijangka beroperasi menjelang 2028 dengan anggaran mewujdukan 200 pekerjaan.

Farm Fresh sudah pun membangunkan kemudahan pemprosesan tenusu seluas 6,000 meter persegi di Pampanga.

"Menerusi perkongsian yang kukuh ini, saya melihat banyak peluang untuk Malaysia dan Filipina mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan," kata Pascual.

Malaysia merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Filipina sejak 2022.

Pada tahun yang sama, pelaburan langsung asing dari negara jiran itu melonjak 505 peratus berbanding 2021.

-- BERNAMA