Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. -Gambar Fail


PUTRAJAYA: Lawatan bersejarah Presiden Barack Obama akan menandakan bermulanya peningkatan hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat kepada sebuah perkongsian komprehensif, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau menyifatkan sebagai tepat pada masanya bagi kedua-dua pihak untuk memberi tumpuan kepada hubungan dua hala dan melakar hala tuju masa depan ketika hubungan Kuala Lumpur-Washington sedang berada di kemuncaknya.

"Lawatan ini akan membuka laluan bagi hubungan kita dalam tahun-tahun mendatang. Ia menjadi peristiwa bersejarah dalam hubungan dua hala kita," katanya pada taklimat media di sini hari ini menjelang ketibaan Obama di Kuala Lumpur esok.

Lawatan tiga hari Obama ke Malaysia adalah yang pertama oleh seorang Presiden Amerika yang memegang jawatan, dalam tempoh 48 tahun selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson, pada 1966.

Ia sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara Asia yang turut merangkumi Jepun, Korea Selatan dan Filipina.

Anifah menarik perhatian kepada hubungan baik antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan presiden Amerika ke-44 itu.

"Ini akan memastikan perbincangan dua hala berkaitan ekonomi, keselamatan dan hubungan rakyat kepada rakyat adalah terbuka, konstruktif dan produktif sambil kita meneliti cara untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada suatu perkongsian komprehensif," katanya.

Dalam taklimat media yang penuh sesak itu, Anifah berkata lawatan presiden itu dilakukan pada ketika Malaysia semakin meningkat untuk menempatkan dirinya pada kedudukan kepimpinan terkemuka di persada antarabangsa.

Anifah menyatakan bahawa tahun 2015 akan menyaksikan Malaysia mengambil alih kepimpinan ASEAN dalam apa yang disifatkannya sebagai titik penting dalam sejarah perkumpulan 10 negara itu, apabila Komuniti Ekonomi Asean diumumkan.

Malaysia, katanya, turut bersaing bagi kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu buat kali keempat dalam sejarah negara ini.

"Sehubungan itu kami menganggap lawatan ini sebagai pengiktirafan Amerika terhadap pengaruh antarabangsa Malaysia, kami bersedia memperkukuhkan penglibatan kami dengan Amerka sambil kami memperkembangkan peranan sebagai 'kuasa perantara' di rantau ini," katanya.

Anifah menegaskan daripada interaksi beliau dengan pemimpin dan menteri asing di persada antarabangsa, maklum balas yang beliau terima berhubung pencalonan Malaysia adalah positif.

"Kami akan mengambil peluang ini untuk mengetengahkan hasrat Malaysia itu semasa lawatan Presiden Obama," katanya ketika menjawab soalan berhubung perkara itu.

Lawatan itu akan membuka peluang kepada Malaysia untuk menonjolkan Pergerakan Kesederhanaan Global yang diilhamkan di negara ini kepada Amerika, kata Anifah, merujuk kepada inisiatif yang menggalakkan kesederhanaan sebagai pendekatan ke arah keamanan dan keadilan global.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia akan berkongsi pengalaman dan peranan yang dilaksanakannya dalam menggalakkan pendekatan kesederhanaan dalam proses damai di selatan Filipina, dengan kemuncaknya adalah pemeteraian Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro pada 27 Mac.

Anifah berkata pada Sabtu, Obama akan diberi sambutan rasmi dan kemudian menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, disusuli istiadat santapan di Istana Negara.

Pada Ahad beliau dijadual mengadakan mesyuarat delegasi dua hala bersama Najib di Putrajaya dan kedua-dua pemimpin akan menghadiri pelancaran Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya.

Kenyataan bersama dijangka dikeluarkan bagi mengumumkan hala tuju hubungan dua hala dan bidang kerjasama yang akan diberi penekanan untuk terus diperkukuhkan.

Presiden Obama akan turut menghadiri sesi perjumpaan awam dengan pemimpin belia dari negara Asia Tenggara di Universiti Malaya.

Anifah menarik perhatian bahawa sejak lawatan Presiden Johnson pada tahun 60-an, hubungan Malaysia-Amerika telah melalui transformasi dari perspektif ekonomi dan diplomatik.

Dengan Najib dan Obama sebagai peneraju dalam pentadbiran masing-masing, beliau berkata kedua-dua negara memperoleh banyak perkembangan positif, misalnya peningkatan dalam pertukaran lawatan peringkat tertinggi dan hubungan lebih kukuh dalam bidang ketenteraan.

Beliau berkata terdapat juga pelaburan besar berterusan oleh firma Amerika di Malaysia, sumbangan kepada hubungan ekonomi dua hala yang positif.

Hubungan turut dijalin dengan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi, keselamatan selain pendidikan menerusi perjanjian formal, katanya.

Dari Malaysia, Obama dijadual berlepas ke Filipina pada Isnin.