MALAYSIA
Sambutan Minggu Perpaduan 2025 tawar diskaun saman hingga 50 peratus

SMP adalah untuk meningkatkan kesedaran rakyat berbilang kaum tentang kepentingan perpaduan negara dan integrasi nasional untuk dipelihara dan dikekalkan. - Foto X/Kementerian Perpaduan Negara
NIBONG TEBAL: Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung selama empat hari bermula Khamis depan di Stadium Batu Kawan, di sini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif untuk pengunjung.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pulau Pinang Rozai Zahar Nedi berkata antara tarikan utama adalah tawaran diskaun saman dari 30 sehingga 50 peratus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Beliau berkata edisi ketiga SMP selepas di Kuching, Sarawak pada 2023 dan Johor, tahun lepas itu juga akan menampilkan Pameran Rumah Kami daripada 24 etnik berbeza di seluruh negara seperti Siam, Chetti, Kerinci, Melayu Brunei, Baba Nyonya, Kedayan dan Bisaya.
"Pengunjung boleh masuk ke dalam rumah etnik ini dan merasai sendiri suasana budaya, makanan, perkahwinan dan pakaian tradisional. Tahun ini, kami juga menyediakan demonstrasi memasak bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri keunikan hidangan etnik sepanjang tempoh empat hari itu."Ia bukan sekadar pameran struktur rumah semata-mata, tetapi pengisiannya turut merangkumi busana tradisional, persembahan kebudayaan, tarian dan muzik khas untuk pengunjung," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Kompleks Perpaduan Seberang Perai Selatan di sini.
Rozai Zahar berkata SMP 2025 juga menampilkan penyertaan 43 jabatan dan agensi kerajaan, jualan usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), pameran serta jualan produk Kawasan Rukun Tetangga Progresif, pesta buku, foodunites dan trak makanan, permainan e-sukan, permainan tradisional serta persembahan artis terkenal.
Bagi peminat keselamatan dan ketenteraan, beliau berkata pengunjung berpeluang menyaksikan pameran aset keselamatan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kemuncak sambutan ialah majlis perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10.30 pagi, 19 Julai. Perdana Menteri dijangka menyertai pengunjung menikmati hidangan di kawasan foodunites yang menghimpunkan lebih 130 jenis juadah dari seluruh negara pada harga berpatutan.
"Perdana Menteri akan menikmati juadah di situ bersama-sama pengunjung, satu pilihan beliau sendiri untuk lebih dekat dan bermesra dengan rakyat," katanya sambil menambah bahawa semua menu popular dari pelbagai negeri akan disediakan.
Dengan sasaran kehadiran 200,000 pengunjung, Rozai Zahar berkata penganjuran program SPM di Zon Utara tahun ini membawa tema "Perpaduan Dalam Kepelbagaian Bagi Memupuk Keharmonian Masyarakat Melalui Detik-Detik Perpaduan".
Beliau berkata objektif SMP adalah untuk meningkatkan kesedaran rakyat berbilang kaum tentang kepentingan perpaduan negara dan integrasi nasional untuk dipelihara dan dikekalkan bagi membentuk sebuah negara yang harmonis, sejahtera serta stabil.
Menurutnya, program ini turut menyemarakkan semangat patriotik serta cintakan negara, di samping memupuk masyarakat yang menjadikan elemen perpaduan sebagai teras dalam setiap tindakan dan interaksi berlandaskan hormat-menghormati, kerjasama serta toleransi.
Bagi memudahkan kehadiran orang ramai, perkhidmatan bas Rapid Penang disediakan secara percuma dari Sungai Nibong dan Seberang Jaya ke Stadium Batu Kawan dan sebaliknya, manakala AirAsia Ride turut menawarkan diskaun kepada pengguna yang menuju ke lokasi SMP 2025.
Mengulas mengenai persiapan, Rozai Zahar berkata kerja-kerja persediaan kini telah mencapai tahap 80 peratus dan sedang memasuki fasa akhir untuk melengkapkan gerak kerja serta memastikan segala perancangan berjalan lancar.
"SMP ini bukan hanya melibatkan Kementerian Perpaduan Negara, malah turut disokong beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan (KPM). Program ini bukan sekadar pesta, sebaliknya bersifat informatif dan memberi maklumat terus kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami