Perkara itu menjadi inti pati lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Indonesia dari 20 hingga 22 April bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin pada Sabtu, lawatan berkenaan amat signifikan, dan mencerminkan keakraban kedua-dua negara sahabat.
"Lawatan rasmi yang bermula Ahad merupakan lawatan pertama Ahmad Zahid ke Indonesia sejak Presiden Prabowo Subianto dilantik sebagai Presiden Republik Indonesia yang baharu.
"Ahmad Zahid akan melakukan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming di Istana Wakil Presiden di Jakarta pada Isnin," jelas Syed Md Hasrin.
Ahmad Zahid juga akan melakukan lawatan ke Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) dan Pusat Koordinasi untuk Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre).
"Dalam lawatan itu juga Ahmad Zahid akan menyaksikan beberapa pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Kuala Lumpur (unikl) dengan beberapa organisasi pemerintah di Indonesia berkaitan pendidikan tinggi dan pendidikan TVET," kata beliau.
Menurut Syed Md Hasrin lagi, Ahmad Zahid juga bakal mempengerusikan perjumpaan meja bulat bersama pemain industri Indonesia berkaitan industri halal yang akan di adakan pada Selasa di Hotel Grand Hyatt Jakarta.
Hubungan dua hala Malaysia-Indonesia berada pada tahap terbaik, hasilnya memberi manfaat kepada rakyat kedua dua negara dalam pelbagai bidang seperti pertanian dan keterjaminan makanan, pelancongan, pendidikan tinggi dan industri halal.
Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN.
Pada 2024 nilai dagangan malaysia-indonesia mencecah AS$25.5 billion berbanding AS$24.5 billion pada tahun sebelumnya, dan kedua-dua negara menyasarkan AS$30 billion nilai dagang untuk tahun 2025 biarpun berdepan ketidaktentuan global akibat perang tarif.
Dalam lawatan rasmi kali ini, Ahmad Zahid merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga diiringi oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, pegawai-pegawai kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Sekretariat ASEAN dan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia.
