MALAYSIA
Lawatan sulung Anwar ke Itali, teroka peluang baharu ekonomi - Duta Besar

Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam berkata Perdana Menteri akan memulakan lawatan rasmi ke Rom, Itali selama tiga hari atas jemputan rakan sejawat beliau, Giorgia Meloni. - Foto Kementerian Luar Negeri
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan siri lawatan ke tiga buah negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil bermula Selasa, 1 Julai 2025.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Itali dari 1 hingga 3 Julai 2025, atas jemputan Perdana Menteri Giorgia Meloni, bagi memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka kerjasama dalam perdagangan, pertahanan, tenaga dan agro-komoditi.
- Lawatan ini disertai lima menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan dan 13 syarikat Malaysia, serta melibatkan sesi meja bulat ekonomi, pertemuan dengan pemimpin komuniti Islam Itali, dan wawancara bersama media tempatan.
- Mesyuarat dua hala antara Anwar dan Meloni dijadualkan pada 3 Julai, membincangkan pelbagai bidang kerjasama termasuk pendidikan, pelancongan dan isu serantau seperti Asia Barat, dengan Itali kini menjadi rakan dagang kelima terbesar Malaysia di Eropah.
“Lawatan ini dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Itali yang mencakupi pelbagai bidang. Lawatan ini turut memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam meneroka inisiatif-inisiatif baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta kerjasama antaranya dalam sektor pertahanan, tenaga dan sektor agro-komoditi,” katanya dalam sidang media secara dalam talian bersama media Malaysia pada Isnin.
Turut serta dalam lawatan rasmi ke Itali adalah lima menteri Kabinet iaitu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Selain pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berkaitan, turut mengiringi Perdana Menteri ialah satu delegasi korporat melibatkan 13 syarikat daripada pelbagai sektor dari Malaysia.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Fiumicino, Rom sekitar 7.50 malam pada Selasa, 1 Julai, Anwar dijadual menghoskan majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Itali pada malam yang sama.
Pada Rabu, 2 Julai Perdana Menteri akan terlibat dalam mesyuarat meja bulat bersama kapten-kapten industri Itali dan Malaysia dalam sebuah acara yang dianjurkan bersama oleh Kerajaan Malaysia dan Itali yang dipanggil "Malaysia, Italy Economic Partnership Roundtable", katanya.
Beliau berkata mesyuarat meja bulat itu akan melibatkan lebih daripada 50 syarikat, persatuan dan industri dari Malaysia dan Itali.
Pada hari yang sama Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Imam Yahya Pallavicini, Naib Presiden Comunita Religiosa Islamica Italiana (COREIS) dan Abdellah Redouane, Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali dan Masjid Rom.
Menurut Zahid, pada Khamis, 3 Julai, Perdana Menteri akan diwawancara oleh Rai News 24, rangkaian berita televisyen tempatan yang utama dan berpengaruh di Itali.
Dalam sesi temu ramah itu, Perdana Menteri dijangka ditemu bual mengenai hubungan dua hala di antara Malaysia dan Itali, perdagangan dan pelaburan serta berkongsi mengenai Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, katanya.
Beliau berkata pada tengah hari 3 Julai, Anwar dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Itali, Meloni di Palazzo Chigi.
Semasa pertemuan ini, kedua-dua pihak akan membincangkan beberapa perkara yang merangkumi kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama dalam bidang pertahanan, tenaga boleh baharu dan alam sekitar, agro-komoditi dan bidang digital.
Turut akan dibincangkan ialah kerjasama dalam hubungan sesama rakyat termasuk pendidikan, pertukaran kebudayaan, sektor pelancongan, isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama seperti situasi di Asia Barat, kata Zahid.
Beliau berkata lawatan Perdana Menteri ke Itali adalah sangat signifikan dalam mencerminkan hubungan akrab di antara kedua-dua negara.
Menurut Zahid, pada tahun 2024 jumlah perdagangan Malaysia dan Itali adalah sebanyak RM14.61 bilion, dengan jumlah eskport Malaysia ke Itali melibatkan RM6.71 bilion dan import Malaysia dari Itali adalah sebanyak RM7.89 bilion.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami