MALAYSIA
Lebih 1,000 pelajar IPT dikenal pasti hidap HIV sejak 2020 - KKM

Lukanisman berkata secara keseluruhan sebanyak 1,091 jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seramai 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan menghidap jangkitan HIV pada usia seawal 18 hingga 19 tahun pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Ringkasan AI
- Seramai 222 pelajar IPT dikesan menghidap HIV pada usia 18-19 tahun pada 2024, menjadikan jumlah keseluruhan 1,091 kes dalam kalangan pelajar IPT dari 2020 hingga 2024.
- Kementerian Kesihatan melaksanakan kaedah pencegahan seperti PrEP, namun kekangan undang-undang menyukarkan remaja bawah umur menjalani ujian dan rawatan tanpa kebenaran ibu bapa.
- Sebanyak 36 peratus daripada 83,937 individu dijangkiti HIV masih belum dikenal pasti, dan KKM memperluas penggunaan kit ujian kendiri HIV melalui NGO dan Majlis AIDS Malaysia untuk meningkatkan saringan komuniti.
"Pelaksanaan PrEP di beberapa fasiliti kesihatan juga menunjukkan kejayaan dalam membendung penularan jangkitan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Media Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan 2025, di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui wujud kekangan dari segi akses remaja bawah umur kepada ujian kendiri HIV dan rawatan susulan kerana tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan mereka menjalani saringan tanpa kebenaran ibu bapa.
"Apa yang membimbangkan ialah keperluan mendapatkan persetujuan ibu bapa untuk menjalani ujian dan rawatan menyukarkan remaja tampil secara sukarela. Ini antara cabaran utama yang sedang kita hadapi," katanya.
Sementara itu, Ketua Sektor HIV/STI dan Hepatitis C, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Fazidah Yuswan memaklumkan seramai 29,941 atau 36 peratus daripada 83,937 individu yang dijangkiti HIV masih belum dikenal pasti sehingga tahun lepas.
"Kita sedang memperhebat saringan komuniti termasuk memperluas penggunaan kit ujian kendiri HIV untuk golongan berisiko, terutama mereka yang segan atau enggan tampil mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan.
"Kit ini juga boleh diperoleh menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis AIDS Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami