Dakwaan ahli Bersatu mahu masuk DAP: Cerminan kebebasan berpolitik - Penganalisis

Mohammad Tawfik (gambar) berpandangan perkara tersebut mencerminkan kebebasan berpolitik yang wujud dalam sistem demokrasi negara, sebagaimana dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. - Gambar fail/FB Mohammad Tawfik Yaakub
KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa berhasrat menyertai DAP, seperti yang pernah didedahkan oleh Pengerusi DAP cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin, bukanlah sesuatu yang bercanggah dengan amalan demokrasi di Malaysia.
Penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan bahawa perkara tersebut mencerminkan kebebasan berpolitik yang wujud dalam sistem demokrasi negara, di mana setiap individu berhak menyertai mana-mana parti atau pertubuhan, sebagaimana yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
"Ideologi dan perjuangan hanya sekadar kenderaan (platform) yang membawa ahli dan pemimpin untuk mencapai matlamat mereka. Namun, sudah semestinya imej atau maruah akan sedikit tercalar dengan tindakan menyeberang ke parti seteru untuk menjadi ahli atau menjawat jawatan penting dalam parti.
"Kita lihat juga keadaan sama berlaku kepada Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz apabila beliau asalnya ahli parti UMNO menjadi menteri di bawah kerajaan Tan Sri Muhyidin Yasin, kemudian masuk ke PKR dan dilantik sebagai ahli Biro Politik PKR," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau juga menyifatkan situasi sedemikian sebagai fenomena lazim dalam landskap politik, memandangkan ahli serta pemimpin parti sering mencari wadah yang mampu melindungi kepentingan mereka, sama ada dari segi kebajikan, kedudukan mahupun pengaruh kuasa, khususnya dalam parti yang kukuh atau sedang memerintah.
Dalam pada itu, Tawfik menjelaskan bahawa trend politik di negara ini menunjukkan reaksi kemarahan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti terhadap individu yang melompat parti lazimnya hanya hangat diperkatakan untuk tempoh singkat, sebelum suasana politik kembali reda.
Dalam konteks DAP pula, beliau berpandangan perkembangan tersebut merupakan satu usaha parti itu untuk memperkukuh imej serta kedudukan, khususnya dalam menarik sokongan masyarakat Melayu.
"Lebih ramai individu dalam kalangan ahli biasa dan pemimpin yang menyertai DAP, maka imej yang menyatakan DAP parti didominasi kaum Cina dan rasis semakin cair.
"Malah, DAP memberi ruang kepada yang terpilih menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Parlimen serta membuka ruang kepada pemimpin Melayu untuk bertanding seterusnya menang menjadi ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP," ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau percaya penyertaan pemimpin dan ahli Melayu dalam DAP semakin diterima serta dinormalisasikan dalam budaya politik negara.
Sebelum ini, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan juga mahu usaha DAP menarik lebih ramai ahli pelbagai bangsa termasuk daripada masyarakat Melayu, tidak akan dilaksanakan dengan terburu-buru atau menggadaikan prinsip parti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


