MALAYSIA
Lebih 10 badan pensijilan antarabangsa tunggu audit, pengiktirafan halal JAKIM

Sirajuddin berkata persidangan HCBC ke-15 bertemakan "Igniting Excellence, Bridging Halal Worldwide" turut dihadiri badan pensijilan halal yang telah diberi pengiktirafan dan pemohon untuk mendapat pengiktirafan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Lebih 10 badan pensijilan halal antarabangsa beberapa negara sedang menunggu pengauditan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk diiktiraf oleh Malaysia sebagai badan pensijilan halal, kata Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Beliau berkata organisasi itu antaranya dari China, Rusia dan negara-negara Balkan.
"Pengiktirafan JAKIM kepada badan pensijilan halal luar negara diberikan melalui surat pengiktirafan, bukannya melalui Memorandum Persefahaman (MoU)," katanya kepada pemberita sempena Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di sini hari ini.
GHaS 2025 yang bermula hari ini hingga 26 Sept mengetengahkan tiga acara utama iaitu Halal Certification Bodies Convention (HCBC), International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP) dan Global Halal Talk (GHT).Sirajuddin berkata persidangan HCBC ke-15 bertemakan "Igniting Excellence, Bridging Halal Worldwide" turut dihadiri badan pensijilan halal yang telah diberi pengiktirafan dan pemohon untuk mendapat pengiktirafan.
"Persidangan ini menjadi platform perkongsian maklumat dan ilmu berhubung perkembangan terkini, khususnya usaha Malaysia dalam memperkukuh ekosistem halal di peringkat domestik dan antarabangsa.
"JAKIM juga menekankan kepentingan kerjasama dengan autoriti pensijilan halal dari negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi memastikan keseragaman dan kebersamaan dalam memperkukuh industri halal untuk manfaat umat Islam serta pengguna bukan Islam di seluruh dunia," katanya.
Bertemakan "Integriti, Kelestarian dan Daya Tahan" acara berprestij itu adalah hasil inisiatif JAKIM dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui agensinya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Jabatan Standard Malaysia (JSM).
Sementara itu, JAKIM dalam kenyataan memaklumkan GHaS bukan sahaja menjadi platform pertemuan pemimpin industri, penggubal dasar, akademik, badan pensijilan halal antarabangsa dan pengguna, tetapi juga bagi menzahirkan tanggungjawab bersama untuk membina ekosistem halal yang diyakini, berinovasi, serta mampu menghadapi cabaran ekonomi global yang kian dinamik.
"GHaS terus menjadi wadah utama dalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju dan rujukan halal dunia.
"Malaysia telah diiktiraf sebagai peneraju halal global selama 11 tahun berturut-turut sebagaimana yang dinyatakan melalui Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIE) 2024, sekali gus membuktikan keupayaan negara," katanya.
GHaS 2025 yang berlangsung di ibu negara dan Putrajaya melibatkan 92 badan pensijilan halal yang diiktiraf serta delegasi antarabangsa dari 47 negara.
HCBC dan IHTCDP edisi keempat dengan tema "Strengthening Core Competencies for Success" yang menampilkan enam sesi khusus dalam memperkasakan kompetensi badan pensijilan halal antarabangsa berlangsung hari ini.
"Program ini berfungsi sebagai platform strategik pemindahan ilmu oleh JAKIM selaku autoriti pensijilan halal bertaraf dunia, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan utama dalam ekosistem halal global.
"Sidang kemuncak kali ini juga menampilkan satu inisiatif baharu melalui penganjuran GHT, berperanan menghimpunkan pandangan strategik daripada kepimpinan tertinggi negara yang bakal dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, esok," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami