PUTRAJAYA: 123,133 kes denggi telah dilaporkan pada tahun 2023 berbanding 66,102 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 86.3 peratus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi adalah sebanyak 100 kematian dilaporkan pada tahun 2023 berbanding 56 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2022.

Beliau berkata demikian semasa membaca teks kenyataan media Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi, di sini hari ini.

Dzulkefly turut mengumumkan tindakan Kerajaan untuk menangani wabak denggi di Malaysia, yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi strategik melibatkan 14 kementerian, semua Pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Meningkatkan keupayaan sumber melalui kolaborasi dengan agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan termasuk penubuhan Task Force bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Mempertingkat keupayaan sumber melalui penyumberluaran 2 aktiviti kawalan dan pencegahan denggi seperti semburan dan larvisiding.

“Memperkukuh kepimpinan setempat melalui penglibatan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam jawatankuasa kawalan dan pencegahan denggi peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Dzulkefly turut menambah program pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia akan diluaskan ke 10 lokaliti tambahan dan memerlukan dana sebanyak RM4 juta setahun bagi menampung kos operasi.

“Program pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia telah dilaksanakan di 32 lokaliti melibatkan tujuh negeri bermula tahun 2019. Dari ini sebanyak 19 lokaliti telah lengkap dua tahun enam minggu dan penilaian keberkesanan menunjukkan penurunan kes denggi 45 peratus hingga 100 peratus berbanding sebelum pelepasan,” jelasnya.

Beliau berkata Jawatankuasa Kabinet juga mencadangkan penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan menjadikan pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia.

Selain itu, aktiviti gotong-royong juga akan terus diperbanyak untuk mengawal penularan wabak denggi ini.

“Aktiviti gotong-royong secara berjadual di premis seliaan kementerian, jabatan dan agensi dijadikan agenda tetap dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Peringkat Daerah dan Negeri.

“Selain itu, kempen dan gotong royong secara besar-besaran melibatkan pelbagai agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, pemimpin setempat dan masyarakat akan dilaksanakan pada tahun 2024,” katanya.

Dzulkefly berkata satu kertas Memorandum Jemaah Menteri (MJM) akan dikemukakan dalam tempoh dua (2) minggu yang menggariskan langkah-langkah menangani denggi untuk persetujuan jemaah menteri.

[LANGSUNG] Sidang Media Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi Bil. 1/2024 | 15 Jan 2024