IPOH: Sebanyak 14,619 lepasan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) telah diserap ke dalam perkhidmatan sejak 2018 hingga Jun tahun ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ILKKM juga merupakan penyumbang terbesar bagi pengeluaran anggota kesihatan terlatih di negara ini.

"Sebanyak 19 institusi latihan di bawah KKM (Kementerian Kesihatan) di seluruh Malaysia menawarkan sebanyak 64 program Paramedik dan Auksilari Kesihatan iaitu 13 Program Pra Perkhidmatan, satu Program Diploma Kejururawatan (Peralihan) dan 50 program di peringkat Diploma Lanjutan dan Sijil Pos Basik.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 38 program latihan dalam bidang kepakaran adalah khusus ditawarkan di ILKKM dan tidak ditawarkan di mana-mana pusat pengajian lain di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sesi pertama Istiadat Konvokesyen ILKKM Zon Semenanjung di ILKKM Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata pada tahun ini sahaja KKM menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah menerima 1.4 juta permohonan untuk menyertai program latihan di bawah ILKKM, sekali gus menunjukkan institut itu setanding dengan institusi atau agensi lain yang menyediakan program latihan anggota sains kesihatan.

Beliau berkata pada masa ini KKM sedang berusaha meningkatkan promosi bagi program lanjutan dan bidang kepakaran yang kritikal antaranya kebidanan, kesihatan awam dan perawatan neonatal.

Mengulas mengenai doktor kontrak, katanya seramai 2,083 orang pegawai perubatan kontrak akan diserap ke perkhidmatan tetap dan akan melapor diri Disember ini.

Sementara itu, sebanyak 8,643 graduan dari pelbagai program pengajian di ILKKM seluruh negara terlibat dalam istiadat konvokesyen tahun ini, bertema 'Graduan ILKKM Cemerlang, Pendukung Kesihatan Madani".

-- BERNAMA