KUALA LUMPUR: Lebih 145,000 penghantar barangan dan makanan yang menggunakan motosikal, basikal atau berjalan kaki dan juga rakan penghantar di seluruh negara kini dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dua platform penyedia perkhidmatan terkemuka, Grab Malaysia dan Foodpanda, mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah program SPS Lindung.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan, ia bagi memastikan golongan terlibat dilindungi selain menggalakkan mereka mendaftar.

"Kerajaan melalui SPS Lindung, menyediakan bantuan berbentuk pembiayaan penuh caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pelan 2 iaitu sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun.

Selaku peneraju di kalangan 133 platform penyedia perkhidmatan di Malaysia, Grab Malaysia dan Foodpanda merupakan dua platform pertama yang tampil menyahut seruan tersebut.

Hasilnya, para rakan penghantar di bawah naungan mereka kini dilindungi Skim Bencana Pekerjaan di bawah SKSPS.

Antara lain, langkah tersebut disifatkan wajar bagi menjaga kebajikan mereka yang terdedah dengan risiko aktiviti pekerjaan terutamanya ketika di jalan raya.

Langkah tersebut bertepatan dengan seruan kerajaan agar pekerja sektor informal tidak tersisih daripada perlindungan keselamatan sosial, sama seperti pekerja dalam sektor formal.

“Perkeso menyambut baik dan menyanjung keprihatinan dan rasa tangggung jawab yang dizahirkan oleh kedua-dua peneraju utama platform penyedia perkhidmatan ini dalam mendaftar dan mencarum rakan penghantar mereka.

"Komitmen dan teladan mereka dalam memberikan perlindungan sosial kepada kelompok rakan penghantar ini, saya percaya, bukan sahaja akan membangkitkan semangat para penghantar ini untuk meningkatkan mutu perkhidmatan tetapi lebih daripada itu, akan mendorong platform penyedia perkhidmatan yang lain untuk mencontohi mereka.

“Saya menyeru kepada semua platform penyedia perkhidmatan untuk turut mengikuti jejak langkah Grab Malaysia dan Foodpanda dalam menzahirkan keprihatinan mereka terhadap rakan penghantar, seterusnya menyokong usaha kerajaan dengan memastikan rakan penghantar mereka didaftar, dicarum dan dilindungi,” tambah beliau.

Statistik Perkeso sehingga 9 Julai 2021 menunjukkan seramai 64,773 pencarum aktif yang terdiri daripada rakan penghantar kini berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS.

Jumlah tersebut merangkumi 39 peratus daripada jumlah keseluruhan Orang Bekerja Sendiri (OBS) aktif yang mencarum dengan Perkeso iaitu 166,189 orang.

Namun, jika dibandingkan dengan 2.72 juta OBS yang direkodkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, jumlah OBS yang mencarum dengan Perkeso adalah masih rendah, iaitu hanya 6.1 peratus.