KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menahan 15,786 individu di atas pelbagai kesalahan jenayah komersial bagi tempoh Januari-Ogos tahun ini, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata dalam tempoh itu JSJK telah mengambil tindakan pembekuan RM106 juta aset dan harta serta tindakan penyitaan aset dan harta berjumlah RM249 juta, manakala daripada aspek pembanterasan, JSJK melaksanakan 14,046 operasi serta serbuan, selain menfailkan lima pertuduhan di mahkamah bagi tempoh sama.

"Oleh itu, JSJK perlu bergerak selangkah ke hadapan, agar berupaya mendepani cabaran dunia baharu ini, termasuklah penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara September 2023 di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata tidak dapat dinafikan bahawa ruang siber yang terbuka ini memberikan cabaran kepada polis untuk meneroka strategi dan kaedah terkini bagi menanganinya.

"Saya difahamkan bahawa trend semasa jenayah komersial yang memperlihatkan lebih 50 peratus kes dicatatkan saban tahun, adalah terdiri daripada kes-kes penipuan dalam talian," katanya.

Ayob Khan berkata dalam usaha mengekang dan membanteras jenayah komersial, JSJK perlu kekal komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang telah dirancang melibatkan siasatan, risikan, operasi dan kempen-kempen pencegahan.

Sementara itu, mengulas mengenai peningkatan dalam kes-kes salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota polis sejak kebelakangan ini, beliau berkata ia memerlukan ketegasan dan keberanian dalam penyeliaan melalui kaedah "pemantauan rapi".

"Semua pegawai dan anggota yang memegang jawatan sebagai penyelia bermula daripada pucuk pimpinan sehingga ke bawah akan dipertanggungjawabkan jika gagal menyelia dan mengambil tindakan ke atas pegawai dan anggota di bawah seliaannya yang terlibat dalam salah laku.

"Tidak ada lagi alasan dalam kalangan penyelia untuk tidak mahu mengambil sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dalam salah laku kerana mereka mahu popular atau menjadikan aspek "esprit de corps" sebagai keengganan mengambil tindakan tegas," katanya.

-- BERNAMA