KAPIT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan sejumlah 15,200 peniaga luar bandar di seluruh negara terlibat dengan model perniagaan secara digital atau e-dompet menjelang 2022.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bagi mencapai sasaran itu, KPDNHEP dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memperluaskan lagi program Inisiatif Digital Peruncitan (ReDI) di setiap negeri.

"Program ini diadakan bagi memastikan peniaga kecil tidak ketinggalan dalam arus perdana dan membantu perniagaan kecil di luar bandar melibatkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital," katanya.

Beliau ketika demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Negeri Sarawak di sini pada Ahad.

Alexander berkata berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan transaksi e-dagang telah melonjak hingga 30 peratus iaitu RM254.6 bilion pada suku pertama 2021.

Beliau berkata peningkatan ini amat signifikan dan memperlihatkan kadar penerimaan penggunaan transaksi tanpa tunai di negara ini.

Setakat ini, sejumlah 1,734 peniaga di daerah Kapit telah mendaftarkan perniagaan mereka dengan penyedia e-dompet.

"Di Pasar Teresang (sebuah pasar basah di Kapit) sahaja, sejumlah 27 peniaga telah mendaftarkan perniagaan mereka, ini menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan dan kita jangka jumlah ini akan meningkat.

"Pelaksanaan ReDI ini juga dilihat mampu memberikan satu momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama untuk pemain industri sektor peruncitan," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan e-dompet bernilai RM50 setiap satu kepada lebih 400 belia serta peniaga di daerah Kapit yang telah menggunakan transaksi aplikasi itu.