KUALA LUMPUR: Seramai 150,154 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memohon Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA 2) bagi Fasa 1 yang dibuka sejak 7 April lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bagaimanapun daripada jumlah permohonan, hanya separuh yang layak melibatkan pemohon berumur 40 hingga 50 tahun.

"FSA 2 ini telah dipohon oleh 150,154 orang, namun yang layak hanya separuh daripada jumlah tersebut (hanya yang berumur 40 hingga 50 tahun bagi Fasa 1) iaitu melibatkan 76,018 orang.

"Jumlah pinjaman adalah sebanyak RM726,318,500 daripada Malaysia Building Society Berhad  (MBSB) dan Bank Simpanan Nasional (BSN)," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ahmad (BN-Pontian) menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan tindakan kerajaan berkaitan pinjaman bank bersandarkan cagaran akaun kedua KWSP di bawah program pencarum apabila syarikat jaminan pembiayaan perniagaan tidak bersetuju untuk membayar pampasan kepada bank-bank kreditor apabila pencarum KWSP gagal membayar balik pinjaman mereka.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata FSA 2 yang dibuat oleh KWSP adalah program pembiayaan peribadi dan bukannya satu cagaran atau sandaran.

Beliau menegaskan, adalah tidak betul jika ada keperluan syarikat jaminan pembiayaan perniagaan yang tidak bersetuju membayar pampasan kerana ia dibayar setiap bulan.

"Jika pembayaran tidak dibuat setiap bulan, pihak bank perlu menunggu umur mereka 50 tahun atau 55 tahun dan barulah KWSP boleh membuat pembayaran," tambah beliau.

Sebelum ini, KWSP dalam satu kenyataan berkata FSA 2 dilaksanakan dalam dua fasa, dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan BSN.

Fasa 1 bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun dengan permohonan melibatkan ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas.

Sementara bagi Fasa 2 pula, tarikh permohonan untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan kelak.