KUALA LUMPUR: Seramai 175,304 (13%) kanak-kanak di hujung usia persekolahan sekolah rendah di Malaysia dilaporkan tidak mahir membaca manakala 1.01 juta (5.03%) rakyat Malaysia masih tidak mempunyai kemahiran literasi.

Selain itu, menurut laporan Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia 2023 dikeluarkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Untuk Malaysia, terdapat 60,800 kanak-kanak Orang Asli (OA) berdepan masalah keciciran belajar pada tahun 2020 dan jumlah itu meningkat menjadi 62,800 pada tahun berikutnya.

Laporan itu turut menunjukkan, bagi setiap lima anak OA, dua orang tidak menamatkan persekolahan.

Laporan keciciran prasekolah (kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun yang tidak menjalani pembelajaran sebelum masuk Tahun 1 di sekolah rendah) pula menunjukkan sebanyak 174,933 (17.1%) pada 2019, 234,476 (22.2%) pada 2020 dan 286,861 (26.9%) untuk tahun 2021.

Keciciran gizi pula menunjukkan 460,483 (7%) kanak-kanak bawah 5 tahun bantut pada tahun 2015 dan meningkat kepada 562,440 (21.8%) pada tahun 2019.

Sebanyak 9.76 juta (30%) rakyat Malaysia mengalami masalah kekurangan makanan akibat tekanan ekonomi pasca COVID-19 dan 84% mewakili kanak-kanak berumur 10 - 17 tahun memakan makanan segera dan tidak sihat.

Data turut melaporkan 140,714 jumlah keseluruhan kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) yang sepatutnya mendaftar di sekolah (6-18 tahun) namun jumlah kanak-kanak OKU berdaftar di sekolah pada tahun 2021 hanyalah 97,220. Seramai 38,696 (27.5%) merupakan angka jangkaan keciciran bagi kategori kanak-kanak OKU 2022.

211,544 calon peperiksaan SPM sejak 2019-2021 dikategorikan sebagai keciciran SPM sama ada kerana tidak hadir menduduki peperiksaan mahupun kerana gagal mendapatkan sijil kerana tidak berjaya lulus subjek Bahasa Melayu ataupun Sejarah.

Menurut laporan itu juga, hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tahun 2019 mendedahkan bahawa sekitar 1.9 juta atau 5.8% rakyat Malaysia tidak pernah bersekolah. Laporan tersebut juga mendedahkan sehingga 72.1% pelajar tidak menyambung pengajian selepas SPM.

Ini bermakna daripada 407,097 pelajar yang mendaftar untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021, sekitar 293,517 murid tidak menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

Purata keciciran SPM berdasarkan trend keciciran SPM, jumlah murid yang mendaftar tetapi tidak hadir serta yang gagal mendapatkan sijil adalah sekitar 18% atau sekitar 60,000 hingga 80,000 berdasarkan pendaftaran murid.

Laporan itu menyebut, untuk menampung pemulihan pembelajaran dan keciciran pascapandemik, perubahan harus dilaksanakan seperti sekolah harus bekerjasama dengan pemimpin masyarakat untuk mengembalikan kanak-kanak keciciran belajar, sokongan berpanjangan kepada guru dan laluan kerjaya menarik, silibus atau bahan pengajaran lebih dinamik serta mengecilkan jurang digital di kalangan murid.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan kementeriannya amat prihatin akan masalah pendidikan khasnya isu keciciran dalam kalangan pelajar, malah sentiasa mencari jalan penyelesaian ke arah sifar keciciran.

Untuk maklumat lanjut, info boleh didapati di laman https://untukmalaysia.org