IPOH: Seramai 2,470 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil kemahiran khas pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-50 di sini, bermula 22 hingga 26 Ogos.

Konvokesyen yang pertama kali dijalankan secara bersemuka di Dewan Jubli PUO selepas fasa pandemik itu, menyaksikan seramai 2,417 graduan daripada peringkat Diploma, 50 Ijazah Sarjana Muda dan tiga untuk Sijil.

Unit Komunikasi Korporat PUO menerusi kenyataan memaklumkan, graduan terbabit merupakan mereka yang telah menamatkan pengajian pada sesi Disember 2020 dan sesi Jun 2021.

Ia meliputi program diploma dan sijil manakala sesi Mac dan September 2021 bagi program Ijazah Sarjana Muda.

Waris Datuk Dr Ungku Omar Ahmad yang juga merangkap Pengarah Urusan Newton International College, Ungku Shamsoon N'har Ungku Omar hadir menyempurnakan penganugerahan pada sidang pertama majlis istiadat.

Ujar kenyataan itu lagi, konvokesyen kali ini turut memberi penghargaan dan penghormatan kepada graduan yang telah menunjukkan dedikasi dan iltizam yang tinggi.

"Beberapa anugerah seperti Anugerah Ungku Omar, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum (Jabatan), Anugerah Projek Terbaik (Penyelidikan dan Inovasi) dan Anugerah Khas Industri, diberikan kepada para graduan yang berjaya.

"Kolaborasi erat di antara industri dan PUO membolehkan Anugerah Khas Industri wujud untuk dianugerahkan kepada pelajar yang layak sebagai satu pengiktirafan pencapaian akademik yang cemerlang di dalam bidang masing-masing.

"Di samping itu, ia merupakan satu insentif dan penghargaan khas pihak industri berkenaan kepada pelajar di atas usaha gigih yang ditunjukkan," katanya.

Sehubungan itu katanya, selaras dengan revolusi industri 4.0, penganugerahan yang diberikan diharap menjadi pemangkin kepada graduan untuk lebih cemerlang dalam menggilap potensi diri agar mampu bersaing di peringkat global yang lebih mencabar.

Ujarnya lagi, industri yang menyumbang bagi Anugerah Khas Industri itu merupakan antara industri peneraju dalam bidang masing-masing serta rakan kolaborasi strategik yang sentiasa menyokong usaha ke arah menjadikan PUO sebagai “Home of TVET Champions”. 

Pada sidang ketiga iaitu Rabu, dua graduan cemerlang menerima Anugerah Ungku Omar, iaitu Adila Mahktar (Diploma Geomatik) bagi sesi Jun 2021 dan Mohamad Harith Haikal Mohd Rosli (Diploma Kejuruteraan Awam) sesi Disember 2020.