MALAYSIA
Lebih 2,000 hadir perarakan pernikahan Raja Muda Selangor

Tengku Amir Shah diarak menaiki kenderaan Rolls Royce dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz sehingga ke pintu hadapan Istana Alam Shah, Klang. - Gambar Astro AWANI/ ABDUL WAFI NORAZMI
KLANG: Lebih 2,000 orang menyaksikan perarakan sempena istiadat perkahwinan diraja Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan dengan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz, hari ini.
Menurut tinjauan Astro AWANI, orang ramai telah menunggu seawal jam 7 pagi untuk mengambil posisi terbaik untuk melihat Tengku Amir dari jarak dekat.
Raja Muda Selangor yang bersongkok dan mengenakan baju Melayu berwarna putih diarak menaiki kenderaan Rolls Royce dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz sehingga ke pintu hadapan Istana Alam Shah, Klang bermula pada jam 9.05 pagi.
Dalam perarakan pada pagi ini, jejawat-jejawat istana termasuk Panglima Perang Kiri dan Kanan yang didatangkan khas dari Markas 11 Briged turut menyertai perarakan.Jejawat ini turut membawa payung, lembing, bunga manggar dan pemegang tombak serta pembawa dulang hantaran.
Sementara itu, seorang rakyat Selangor, Nor Hayati Salim, 54, yang ditemui berkata, dia sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama dia berpeluang menyaksikan perarakan istiadat perkahwinan Raja Muda Selangor bersama pilihan hati baginda.
“Selalu tengok di televisyen orang ramai berdiri tepi jalan sambil lambai kepada pengantin diraja. Hari ini saya sendiri dapat hadir.
“Seronok akhirnya dapat tengok Raja Muda Selangor bertemu jodoh dengan Cik Afzaa Fadini. Semoga pasangan diraja ini berbahagia hingga ke jannah. Insya-Allah,” katanya.
Bagi Nur Fatehah Yakub dari Darul Ehsan Facilities Management yang hadir bersama rakan sekerja pula menyifatkan pengalaman hari ini amat berharga bagi rakyat Selangor sepertinya.
“Acara macam ini jarang berlaku. Bila dengar Raja Muda Selangor, Tengku Amir akan berkahwin, sudah tentu saya seronok, nak datang tengok sendiri. Bangga dan terharu lihat Tengku Amir bertemu jodoh,” katanya.
Perarakan Diraja yang turut menarik perhatian ramai, dengan iringan muzik kompang.
Dalam masa sama, orang ramai terutama kanak-kanak turut kelihatan teruja, melambai ke arah Raja Muda Selangor.
Sebanyak 11 das tembakan akan dilepaskan sebagai simbolik selesai istiadat pernikahan.
Istiadat Pernikahan Diraja akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pagi ini, manakala Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja pada 22 Oktober.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami