Liga Super: Jaringan lewat Hidalgo selamatkan maruah JDT

Pemain Negeri Sembilan FC Luqman Hakim Shamsudin (tengah) cuba melepasi pemain Johor Darul Ta’zim pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Jumaat. Keputusan perlawanan Negeri Sembilan FC 0-1 JDT. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan penguasaan dalam Liga Super musim ini apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Gol tunggal JDT itu adalah hasil tandukan tepat Manuel Hidalgo pada minit akhir tambahan separuh masa kedua sebagai penyudah hantaran Oscar Arribas.
Terdahulu pada babak pertama, perlawanan berlangsung dalam intensiti tinggi dan penuh agresif sehingga beberapa pemain daripada kedua-dua pasukan dilayangkan kad kuning.
Aksi mula panas apabila NSFC memperoleh sepakan percuma pada minit ketujuh selepas pemain JDT Muhammad Syahmi Safari mengasari Jovan Motika, namun peluang keemasan itu gagal dimanfaatkan untuk menembusi gawang lawan.
JDT hampir memecah kebuntuan pada minit ke-18 menerusi rembatan deras Oscar Arribas bagaimanapun penjaga gol NSFC, Muhammad Azri Abdul Ghani, tampil cemerlang menafikan percubaan tersebut.
Beberapa minit kemudian, JDT sekali lagi mengancam gawang tuan rumah menerusi percubaan jarak jauh Ager Aketxe Barrutia namun berjaya diselamatkan Muhammad Azri.
Memasuki babak kedua, JDT tampil lebih garang dengan beberapa percubaan sebelum Hidalgo akhirnya menjaringkan gol kemenangan Harimau Selatan pada masa kecederaan,
Sementara itu di Stadium Likas, Sabah FC seri 1-1 dengan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Babak pertama aksi berkenaan menyaksikan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan namun tiada sebarang jaringan berjaya diciptkan.
Memasuki babak kedua, Sabah FC dikejutkan pelawat apabila Safawi Rasid merobek gawang Sang Badak pada minit ke-50 dengan rembatan kencang di kawasan kotak penalti, menjadikan kedudukan 0-1.
Bagaimanapun Sabah kembali bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi penyerang import Ajdin Mujagic dan kedudukan itu kekal sehingga tamat masa permainan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


