SRI AMAN: Institusi kesihatan awam di Sarawak akan terus dipertingkatkan melalui projek naik taraf melibatkan 227 Klinik Kesihatan (KK) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di negeri itu secara berperingkat.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu sudah dibincangkan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semasa Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) baru-baru ini.

Jelasnya ia adalah komitmen daripada pihak KKM sekaligus menyokong perkhidmatan beberapa institusi kesihatan awam tambahan yang lain di Sarawak antaranya Hospital Sri Aman II yang telah beroperasi pada 1 September lalu.

“Yang berhormat Khairy akan meningkatkan lagi kemudahan kesihatan di Sarawak dan perkara ini telah dibincangkan di dalam mesyuarat MA63 beberapa hari lalu untuk menaik taraf infrastruktur sejumlah 227 Klinik Kesihatan (KK) di seluruh negeri ini, beliau sangat mengambil berat akan sektor kesihatan di sini termasuklah di bahagian Sri Aman.

“Selain bersukan dan aktif dengan aktiviti regata, kita mesti jaga kesihatan untuk meneruskan legasi ini, maka infrastruktur kesihatan seperti ini (Hospital Sri Aman II) penting untuk dibangunkan yang akan menempatkan Doktor dan Pakar di Sri Aman,” katanya semasa berucap merasmikan Pesta Benak 2022 di Waterfront Sri Aman di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Khairy memberitahu kementeriannya kini menumpukan usaha menaik taraf kemudahan kesihatan dan hospital pakar di Sabah dan Sarawak yang juga menyasarkan pembinaan klinik kesihatan menyeluruh membabitkan perkhidmatan radiologi, rehabilitasi, pergigian dan pakar perubatan keluarga.

Klinik kesihatan menyeluruh yang dibina di 14 daerah di Sabah dan 16 daerah di Sarawak, itu dianggarkan memerlukan dana berjumlah RM1.5 bilion untuk daerah yang tidak mempunyai fasiliti terbabit.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Dr Ooi Choo Huck turut memaklumkan sebanyak 105 daripada 272 KK di Sarawak dikategorikan sebagai daif setakat ini.