NATIONAL
Lebih 200 pekebun durian Pulau Pinang diminta daftar 'Track and Trace'

Fahmi berkata setakat ini 50 hingga 60 pekebun sudah menyatakan komitmen untuk menggunakan sistem itu sementara 20 pekebun berskala besar telah mendaftar. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Lebih 200 pekebun di Pulau Pinang diminta untuk mendaftar segera aplikasi 'Track and Trace', platform pintar bagi membanteras lambakan durian palsu sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap ketulenan durian Pulau Mutiara itu.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata setakat ini 50 hingga 60 pekebun sudah menyatakan komitmen untuk menggunakan sistem itu sementara 20 pekebun berskala besar telah mendaftar.
"Menerusi sistem itu, setiap durian akan dilengkapi dengan kod QR yang ditanda dari ladang hingga ke tangan pembeli dan pengguna hanya perlu mengimbas untuk mengesahkan asal-usul durian tersebut.
"Penandaan (tagging) sudah sedia dan pelaksanaan bermula serta-merta 1 Jun ini, kita akan bantu pekebun untuk mendapatkan tag ini secepat mungkin dan pendaftaran boleh dibuat melalui Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atau pejabat saya,'' katanya pada sidang media di Komtar di sini hari ini.Minggu lepas, Fahmi berkata kerajaan negeri akan melaksanakan teknologi 'Track and Trace', platform pintar yang membolehkan pemantauan menyeluruh terhadap durian hasil keluaran Pulau Pinang mulai 1 Jun ini sempena musim 'raja buah' itu.
Pembangunan teknologi kerjasama dengan MIMOS Sdn Bhd itu berikutan aduan daripada pengusaha tempatan berhubung penipuan dan eksploitasi durian tempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Fahmi berkata kerajaan negeri juga mencadangkan agar penggunaan sistem tagging itu dijadikan prasyarat kepada semua pekebun sebelum dibenarkan menjual durian.
''Jika sistem itu digunakan, kemudahan seperti bantuan, promosi dan penglibatan dalam program kerajaan akan diberi keutamaan kepada pekebun yang mematuhi pelaksanaan sistem ini,'' katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan mewajibkan semua peserta menggunakan sistem penandaan itu bagi memastikan kualiti dan keaslian durian terjamin pada Pesta Durian dan Buah-Buahan Pulau Pinang 2025 yang dijadualkan dari 23 Jun hingga 20 Julai ini.
Katanya penggunaan teknologi itu bukan sahaja menjaga kepentingan pengguna supaya membeli dengan harga berbaloi dan rasa yang sedap, malah membantu pekebun membina reputasi serta pasaran lebih luas termasuk eksport ke China.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami