Kerajaan meluluskan sebanyak 270,837 pemohonan kad pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) yang dimohon sehingga 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, pada masa yang sama kerajaan juga telah membatalkan 1,430 kad MyPR atas pelbagai kesalahan.

Katanya pembatalan itu, direkodkan bermula 2015 sehingga Julai 2020.

Menjelaskan mengenai proses permohonan, beliau berkata, bagi mendapatkan MyPR, pemohon perlu mempunyai pasport yang sah dan mempunyai permit masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Tambahnya, dasar sedia ada bagi permohonan permit masuk menetapkan empat kategori pemohon yang layak dipertimbangkan untuk memohon permit masuk.

"Mereka adalah kategori suami kepada warganegara, kategori isteri kepada warganegara, kategori anak kandung kepada warganegara dan kategori sistem mata untuk warga asing sepenuhnya," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab pertayaan lisan Natrah Ismail (PH-Sekijang) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan untuk permohonan pemastautin tetap Malaysia kerana terdapat banyak permohonan yang ditolak tanpa menyatakan sebab penolakan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, permohonan permit ditolak adalah berdasarkan kepada SOP sedia ada yang mana antara faktor-faktor penolakan permohonan termasuk tidak memenuhi syarat pertimbangan untuk permohonan permit masuk seperti sistem mata untuk warga asing sepenuhnya dan tempoh perkahwinan serta keberadaan pemohon yang tidak menepati kelayakan untuk kategori pasangan kepada warganegara.

Dalam pada itu, katanya, juga terdapat beberapa sebab lain termasuk bantahan terhadap Borang Rujukan Imigresen daripada PDRM, bantahan terhadap permohonan hasil daripada pemeriksaan naziran, pemohon disenaraihitamkan dalam jabatan, penaja atau pemohon telah meninggal dunia, pasangan telah bercerai atau penaja telah menarik diri daripada menjadi penaja.

“Sehubungan itu, surat penolakan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen adalah berdasarkan faktor-faktor penolakan tersebut selari dengan SOP yang ditetapkan.

"Walau bagaimanapun, sekiranya pemohon memerlukan penjelasan atas permohonan permit masuk, pemohon boleh merujuk kepada pejabat Jabatan Imigresen terdekat,”katanya.

Menjawab soalan tambahan Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) yang meminta kerajaan menjelaskan tindakan pihak berkuasa kepada mereka yang menjual kad pengenalan palsu, Ismail memberitahu, kerajaan telah mengambil tindakan undang-undang termasuk menghadap beberapa individu ke mahkamah.