MALAYSIA
Lebih 3,000 pegawai perubatan terima tawaran lantikan tetap - Dzulkefly

Dzulkefly berkata, semua pegawai perubatan yang menerima tawaran akan melapor diri di fasiliti KKM di seluruh negara bermula 2 Oktober ini. - Gambar fail
BANGI: Sebanyak 3,850 daripada 4,352 pegawai perubatan Gred UD10 bersetuju menerima tawaran lantikan tetap setakat hari ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata semua pegawai perubatan yang menerima tawaran itu akan melapor diri di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara bermula 2 Okt ini.
"Secara amnya, kalau dibanding dengan tahun-tahun yang lepas, kadar penerimaan kini lebih kurang sama. Bezanya kali ini kita memberi tiga pilihan penempatan, termasuk di Sabah dan Sarawak. Itu cabaran utama untuk mengatasi masalah maldistribution.
"Daripada perspektif KKM, sebagai menteri saya sangat mengharapkan mereka terus bersama kami untuk membangunkan, memperkukuh dan memperkasakan lagi fasiliti-fasiliti kesihatan awam kita," katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Bersekutu ke-14 Tahun 2025 di sini hari ini.Beliau berkata hasil tinjauan di Sabah dan Sarawak menunjukkan banyak pegawai perubatan dari Semenanjung yang pada awalnya keberatan, akhirnya memilih untuk kekal berkhidmat di sana hingga lima ke 10 tahun.
Pada 23 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan akan menyegerakan pengisian 4,352 perjawatan di fasiliti kesihatan, termasuk lantikan doktor kontrak tahun ini, berikutan keperluan mendesak terhadap sektor penjagaan kesihatan negara.
Sementara itu, Dzulkefly dalam ucapannya berkata kementerian bersama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memperkenalkan RESET bagi memastikan pembaharuan pembiayaan kesihatan diselaras merentasi kerajaan serta sektor swasta.
Beliau berkata RESET sebagai wadah kepada inisiatif seperti Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) serta Dana Kesihatan Nasional (DKN) untuk dibangunkan secara bersepadu.
"Ia direka bagi memastikan kewangan yang mampan, memelihara ekuiti dan memberikan ketahanan untuk kita berdepan ancaman kesihatan pada masa hadapan. Setiap ringgit yang dikutip akan diasingkan dan disalurkan semula bagi memperkukuh sistem kesihatan awam negara," katanya.
"Perlu saya jelaskan, ini bukan penswastaan. Pembaharuan itu untuk memperkukuh sistem awam kita kerana sistem awam berkenaan yang berkhidmat kepada setiap rakyat Malaysia pada setiap pelusuk negara," katanya.
Beliau berkata Allied Health Workforce Blueprint 2026-2035 yang dibangunkan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia dijangka dilancarkan tidak lama lagi.
Pelan itu amat penting sebagai hala tuju untuk memperkukuh tadbir urus, mengoptimumkan kapasiti tenaga kerja serta memastikan profesional kesihatan bersekutu diiktiraf sebagai pemacu strategik perubahan.
AHSC yang bertemakan 'Innovate, Integrate, Inspire: Sustainable Healthcare Through Allied Health' itu dihadiri lebih 500 peserta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami